Hari Ini Kisah Klasik Untuk Masa Depan

Welcome to My Blog.

"Setiap hari, terdapat banyak pekara yang berlaku di dunia ini. Segala yang berlaku ini perlu dicatat agar ianya dapat menjadi rujukan dan tatapan pada masa hadapan."

Thanks for coming. Have a nice day.Happy Surfing Everyone.!!!

Saturday, April 16, 2011

Langkah-Langkah kerajaan memupuk Sistem Pendidikan Kebangsaan.


PENGENALAN

Di antara tempoh 1946 hingga 1957, terdapat beberapa perubahan dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu ( TM ). Tempoh ini disifatkan sebagai pembinaan semula sistem pendidikan kita ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di TM.[1] Keperluan untuk sebuah sistem pendidikan yang bersepadu dan bersifat kebangsaan semakin dirasai akibat perkembangan yang berlaku di TM terutamanya selepas Perang Dunia Kedua dan semasa menghadapi darurat. Oleh itu, British mulai sedar bahawa ilmu pengetahuan amat penting dalam memupuk semangat cinta dan taat setia kepada tanahair di kalangan penduduk TM. Oleh yang demikian pihak British telah mulai berusaha untuk menubuhkan beberapa buah jawatankuasa untuk merangka dan mencari formula berkesan dalam mewujudkan satu dasar pendidikan yang jelas untuk TM. Dengan kata lain, TM perlu diwujudkan satu sistem pendidikan bersepadu dan bersifat kebangsaan.

LANGKAH-LANGKAH KERAJAAN DALAM MEMBENTUK SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

A ) Rancangan Cheeseman

Selepas kembalinya tentera British pada bulan Ogos, 1945, salah satu tugas kerajaan ialah membina semula sistem pendidikan di TM. Rancangan Cheeseman merupakan percubaan pertama untuk menyusun semula polisi pendidikan di bawah pentadbiran Malayan Union.[2]

Di dalam rancangan itu, Cheeseman mencadangkan :

i ) Tempat percuma diberikan kepada kanak-kanak yang menghadiri sekolah vernakular di

peringkat sekolah rendah.

ii ) BI diajar dalam semua sekolah rendah.

iii ) menubuhkan dua jenis sekolah menengah ; dan

iv) Pelaksanaan secara penuh Laporan Pelajaran 1938 mengenai pendidikan vokasional.[3]

Objektif jangka panjang bagi polisi pendidikan baru tersebut ialah pembinaan semula sistem pendidikan demi menjamin setiap jenis sistem persekolahan dapat dikembangkan dengan sepenuhnya. Bagaimanapun, di bawah Rancangan Cheeseman, tidak ada rancangan yang berkaitan bagi memupuk intergrasi sosial di antara kanak-kanak berbilang kaum. Oleh sebab Jabatan Pelajaran terlalu sibuk dalam pemulihan sekolah-sekolah yang telah dirosakkan kerana peperangan, Rancangan Cheeseman tidak dapat dilaksanakan.[4]

Saya bersetuju pada huraian dari Abu Bakar Nordin dalam bukunnya bertajuk “ Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020” di mana dasar yang termaktub dalam Laporan Cheeseman itu tidak mempunyai matlamat untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan. Dasar pendidikan kolonial sekadar “ to restore school as quickly as possible to their former condition and to make provision for all who are deprived of education owing to war”.[5]

B ) Jawatankuasa Penasihat Pusat 1949 ( Central Advisory Committee on Education )

Apabila terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948,[6] usaha kerajaan ke arah perwujudan pendidikan kebangsaan adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pusat pada bulan Oktober 1949.[7] Jawatankuasa ini diketuai oleh Mr. Holgate iaitu Pengarah Pendidikan yang dilantik pada 16 Disember 1948 bagi menggantikan H.R. Cheeseman. Ianya bertujuan menasihati kerajaan dalam usaha melaksanakan dasar pendidikan di TM dengan menumpukan perhatian terhadap pencapaian objektif utama dasar pendidikan iaitu mewujudkan masyarakat yang bersatu padu di kalangan penduduk TM yang berbilang kaum. Oleh itu, pada bulan Mei 1950, jawatankuasa ini telah menyiapkan laporannya.

Antara kesimpulan yang terkandung dalam laporan tersebut ialah :

i) Sistem pendidikan yang patut diamalkan di TM adalah melalui penggunaan satu

bahasa pengantar.

ii) Bahasa Inggeris ( BI ) harus digunakan dalam pendidikan memandangkan kebaikan-

kebaikan yang akan diperolehi daripadanya.[8]

iii)Menekankan kepentigan Bahasa Melayu ( BM ) sebagai bahasa ibunda orang Melayu

dan sebagai bahasa kedua bagi kaum lain untuk tujuan kerakyatan.

iv) Mengadakan pendidikan rendah percuma di dua jenis sekolah bagi sekolah

berbahasa pengantar InggerĂ­s menjadikan BM sebagai satu subjek wajib manakala

sekolah berbahasa pengantar Melayu menjadikan BI sebagai satu subjek wajib.

Kedua-dua jenis sekolah ini turut dikehendaki menyediakan kemudahan untuk

mempelajari Bahasa Cina ( BC ) dan BahasaTamil ( BT ).[9]

Walau bagaimanapun, cadangan Jawatankuasa itu ditolak dalam Majlis Perundangan Persekutuan kerana ramai anggotanya tidak setuju dengan penggunaan BI sebagai bahasa pengantar yang tunggal.[10] Di sinilah pada pandangan saya sistem pendidikan di TM pada masa itu mengalami titik permulaan dalam mewujudkan pendidikan kebangsaan. Hal ini kerana jawatankuasa sebelum ini ( Rancangan Cheeseman ) tidak mendapat perhatian dari kerajaan kerana pada masa itu banyak kerosakan yang perlu dibaiki akibat peperangan yang berlaku. Dengan kata lain, kerajaan terpaksa menumpukan perhatian kepada keadaan pada masa tersebut.

C ) Laporan Barnes 1950

Kelemahan yang wujud pada Jawatankuasa Penasihat Pusat 1949 telah membawa kepada penubuhan sebuah jawatankuasa yang baru. Pada bulan Ogos 1950, Sir Henry Gurney telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengkaji system pendidikan vernakular dan kemudahan pendidikan untuk orang Melayu.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh L.J. Barnes yang merupakan Setiausaha dan Pengarah Latihan Sosial di Universiti Oxford London.[11] Di samping itu, jawatankuasa ini mempunyai 14 orang ahli termasuk L.J. Barnes sendiri, Tunku Ya’acob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Mahmood Mayyideen, Dr. Mustapha Osman, L.I. Lewis, L.D. Whitfield, E.M.F. Payne, Tom Dato Abdul Razak dan W.B. MacDonald, Aminuddin Baki, Zainal Abidin Sultan Mydin, Tuan Syed Esa Alwee, Tuan Syed Nasir Ismael serta Mohamed Nor Sulaiman. Pada 10 Jun 1951, jawatankuasa telah menerbitkan laporannya yang dikenali sebagai Laporan Barnes.

Antara kandungan laporan tersebut ialah :

i) Mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan peringkat pendidikan rendah untuk

kanak-kanak umur 6-12 tahun bertujuan melahirkan kanak-kanak yang boleh

membaca dan menulis dalam BM dan BI. Pendidikan yang menumpukan kepada satu

aliran persekolahan ini dilihat penting untuk mengubah pandangan kaum pendatang.

ii) Mengesyorkan satu corak pendidikan yang dapat mencipta suatu rupa bangsa yang

bercorak TM dan berdasarkan percampuran kaum bagi mewujudkan rasa perpaduan.

iii) Mengesyorkan penggantian sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah rendah

kebangsaan untuk semua kaum berbentuk dwi-bahasa iaitu BI dan BM.

iv) Mencadangkan penghapusan bantuan kewangan dari negeri dan pusat untuk sekolah

Cina dan Tamil bagi melemahkan dan menamatkan sistem pendidikan bersifat

perkauman.[12]

Seperti yang kita sedia maklum, setiap cadangan yang dikemukakan diterima dengan perasaan pro dan kontranya. Secara amnya, laporan ini disokong oleh UMNO, Persatuan-Persatuan Persekutuan, Pelajar-pelajar Melayu dan individu perseorangan seperti E.E.C. Thuraisingham, L.I. Lewis termasuk Sir Henry Gurney sendiri. Walau bagaimanapun, laporan ini menerima tentangan dari masyarakat Cina dan India. Tentangan ini dapat dijangka ekoran tiada seorang pun wakil Cina dan India dalan Jawatankuasa Barnes yang telah ditubuhkan. Aspek yang paling dibimbangi masyarakat Cina adalah saranan Laporan Barnes akan dapat menggugat pendidikan, bahasa dan budaya orang Cina.[13]

Penghapusan sekolah Cina seperti mana yang dicadangkan dilihat sebagai dasar menindas budaya Cina kerana soal pendidikan bagi mereka adalah soal budaya. Kehampaan jelas terpandang dari bantahan tersebut kerana kerajaan dianggap gagal melindungi pendidikan Cina. Beberapa pertemuan dan mesyuarat yang berakhir dengan bantahan sebulat suara penyerahan memorandum dan penulisan di dada akhbar berbahasa Cina menunjukkan hangatnya isu pendidikan kebangsaan yang disusun dalam Laporan Barnes. Antara yang menarik untuk dibincangkan adalah isu dwi-bahasa dalam perlaksanaan pendidikan kebangsaan yang dicadangkan itu. Masyarakat Cina berpendapat bahasa bukanlah faktor utama penyatuan penduduk TM sebaliknya penggunaan buku teks dan korikulum dan berorientasikan TM sebagai unsur penyatuan kaum.[14]

Kaum India turut menghantar memorandum menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan yang terkandung dalam Laporan Barnes. Pada 1 Julai 1951, wakil daripada lebih 20 persatuan dan Kesatuan Sekerja India, Perak telah berhimpun dan mengajukan memorandum meminta Pesuruhjaya Tinggi TM menimbang usaha komuniti India dalam perjuangan mereka memelihara bahasa dan warisan budaya bangsa.

Di sini kita melihat bantahan masyakat Cina dan India terhadap Laporan Barnes ternyata lebih menjurus atas faktor kebimbangan akan pupusnya bahasa dan budaya mereka dengan pengenalan pendidikan kebangsaan. Dengan kata lain, Laporan Barnes tidak memberi sebarang pengiktirafan kepada sekolah vernakular atau sekolah yang menggunakan bahasa lain, selain daripada BM. Sekolah kebangsaan yang dicadangkan itu menurunkan kedudukan bahasa-bahasa Cina dan Tamil ke taraf bahasa asing serta ditawarkan hanya sebagai satu mata pelajaran.[15]

Laporan ini turut ditentang oleh Cheeseman iaitu bekas Pengarah Pendidikan TM pada masa itu. Beliau melihat penggunaan BM dan BI sebagai beban kapada kanak-kanak yang tidak menggunakan kedua-dua bahasa tersebut di rumah dan bebanan ini mjadi lebih besar apabila mereka diminta mempelajari kedua-dua bahasa secara serentak sebagai syarat memasuki sekolah. Cheeseman juga meletakkan kemunduran ekonomi sebagai punca orang Melayu tidak mampu mengembangkan pendidikan mereka yang akhirnya tidak melayakkan mereka memasuki sekolah InggerĂ­s. Maksudnya di sini, kelemahan orang Melayu tidak terletak dalam bidang pendidikan tetapi dalam bidang ekonomi iaitu satu aspek yang dilihat oleh Cheeseman sebagai telah diabaikan dalam Laporan Barnes.

Menurut Abu Bakar Nordin, Laporan Barnes mendapat perhatian sepenuhnya dan dianggap sebagai “....a most stimulating, thought provocking and constructive report breaking a great deal of new ground.”.[16] Oleh itu, perlu diwujudkan satu lagi jawatankuasa untuk mengatasi kelemahan ini.

D ) Laporan Fenn-Wu.

Reaksi negatif masyarakat Cina cuba dineutralkan oleh Sir Henry Gurney dengan perlantikan sebuah lagi jawatankuasa pada tahun 1951. Jawatankuasa Barnes ini ditugaskan untuk mengkaji pendidikan Cina di TM dengan menitikberatkan usaha menyesuaikan sistem psekolahan yang bercorak perkauman dengan sistem persekolahan bercorak kebangsaan bermatlamat utama untuk merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua sistem psekolahan. Selain itu, jawatankuasa turut diamanahkan memberi nasihat dari segi penyeliaan buku teks yang berlatarbelakangkan kehidupan di TM sebagai cara mengasimilasikan orang Cina ke dalam masyarakat TM. Jawatankuasa ini dianggotai dua orang ahli yang juga menjadi pengerusi bersama iaitu Dr. William P. Fenn seorang Amerika dari negeri Cina dan Dr. Wu Teh-Yao, seorang pegawai dari Bangsa-bangsa Bersatu.[17] Jawatankuasa kemudiannya menerbitkan sebuah laporan yang dinamakan Laporan Fenn-Wu.

Namun demikian, laporan ini ternyata mengeruhkan lagi suasana perkembangan pendidikan di TM. Di dalam laporan ini, Fenn-Wu jelas lebih menunjukkan simpati terhadap pendidikan vernakular Cina. Antara lain kandungan laporan tersebut ialah :

i) Berusaha menunjukkan sekolah vernakular boleh memberi sumbangan yang berkesan

ke arah pembentukan pendidikan TM yang bersatu padu dan mengalami kesedaran

nasional.

ii) Mendesak supaya sekolah-sekolah Cina diteruskan, diberi bimbingan dan bantuan

kewangan berasaskan objektif pendidikan dan bukannya atas tujuan politik.

iii) Sekiranya BM diakui sebagai bahasa rasmi dan BI diterima sebagai bahasa pengantar

maka BC tidak harus diabaikan.[18]

iv) Sekolah cina tidak boleh dihapuskan sehingga orang Cina sendiri membuat keputusan

yang pendidikan cina tidak diperlukan lagi.[19]

Walaupun Fenn-Wu mengecam sekolah kebangsaan berbentuk dwi-bahasa namun, ia menolak penekanan melampau dalam usaha memelihara ciri-ciri kecinaan sekolah Cina. Politik asing dalam apa jua bentuk sekalipun harus dihapuskan dari sekolah Cina dan buku teks yang diperkenalkan haruslah bersesuaian untuk kegunaan di TM. Oleh kerana Laporan Fenn-Wu memihak kepada masyarakat Cina maka, laporan ini telah disambut baik oleh orang Cina itu sendiri. Beberapa orang pendidik Cina misalnya, menyokong kuat laporan ini kerana budaya orang Cina diperuntukkan tempat yang penting dalam rancangan pendidikan di TM dan berpendapat masanya sudah sampai bagi pihak kerajaan untuk merancang program jangka panjang bagi meningkatkan taraf pendidikan Cina.[20]

Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu menunjukkan masalah kritikal dalam sistem pendidikan di TM iaitu kedudukan bahasa pengantar. Pengekalan sekolah Cina dan Tamil dilihat sebagai satu halangan ke arah pembentukan identiti kebangsaan manakala penghapusan sekolah Cina dianggap sebagai tindakan menindas dan memupuskan budaya Cina. Di sebalik kekalutan dan perhatian serius yang diberikan terhadap Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu, masyarakat India juga tidak terlepas untuk memperjuangkan pendidikan India agar mendapat kedudukan yang setaraf dengan perkembangan pendidikan bangsa lain. Hal ini kerana, pihak kerajaan sendiri tidak bercadang untuk meminta sebarang laporan dari pendidikan India dan hanya memanggil wakil dari masyarakat India akan dipilih dalam proses membuat dasar pendidikan TM.[21]

Oleh itu, pada 30 Jun 1951 di bawah naungan Malayan Indian Communitee ( MIC ) Persekutuan Institusi Pendidikan dan Budaya India telah bermesyuarat serta sebulat suara untuk membentuk Jawatankuasa Pendidikan India. Antara cadangan-cadangan yang diutarakan adalah :

i ) Kerajaan harus melantik sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pendidikan India sebagai mana pendidikan Melayu dan Cina.

ii ) Pendidikan asas harus dijalankan dalam bahasa Ibunda.

iii) Sekolah kebangsaan yang sebenarnya harus menyediakan pendidikan rendah dalam bahasa Melayu, Cina dan India.

iv) Buku teks harus berdasarkan latar belakang TM memperkenalkan aspek budaya asia dan dunia.

Keseluruhan laporan ini membayang kecenderungan jawatankuasa terhadap Laporan Barnes. Sistem sekolah kebangsaan ditetapkan sebagai corak sistem persekolahan. BT dan BC akan di ajar sebagai bahasa ketiga tetapi sekolah vernakular India dan Cina tidak diterima sebagai sebahagian sistem persekolahan kebangsaan. Pada pandangan saya, laporan ini tidak mempunyai unsur kesinambungan sejarah dan hak mutlak orang Melayu. Jadi, apa yang kita dapat lihat ialah laporan ini bersifat bias terhadap golongan Cina sahaja tanpa mengambil kira penduduk setempat majoriti di TM.

E ) Jawatankuasa Khas 1951

Dengan terbitnya laporan ini, isu pendidikan di TM menjadi semakin serius. Hal ini telah mendorong kerajaan membentuk sebuah Jawatankuasa Khas pada 20 September 1951 yang diketuai oleh E.E.C. Thuraisingham yang bertujuan untuk mengkaji Laporan Barnes, Fenn-Wu dan Laporan Jawatankuasa Penasihat Pusat seterusnya mencadangkan langkah yang bersesuaian untuk menyelesaikan masalah pendidikan di TM.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Khas ini sama dengan Jawatankuasa Penasihat Pusat di mana ianya memihak kepada Laporan Barnes. Jawatankuasa menyokong penubuhan sekolah kebangsaan untuk menggantikan sekolah vernakular. Jawatankuasa juga menyokong penggunaan BM dan BI sebagai bahasa pengantar dan BC dan BT sebagai satu mata pelajaran yang boleh diajar di sekolah-sekolah. Namun, masyarakat Cina membantah laporan yang dikeluarkan jawatankuasa ini.

F ) Ordinan Pelajaran atau Penyata Pendidikan 1952

Oleh kerana bantahan keras orang Cina terhadap Jawatankuasa Khas 1951, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah lagi jawatankuasa pada 21 November 1952. Jawatankuasa ini bertanggungjawab dengan menyatukan Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu dan dikuatkuasakan sebagai Ordinan Kerajaan atau Penyata Pendidikan 1952. Menurut ordinan ini, TM hanya mempunyai dua jenis sekolah kebangsaan iaitu Melayu dan Inggeris. BC dan BT boleh diajar di sekolah sebagai bahasa ketiga jika mendapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat sekurang-kurangnya 15 orang pelajar dalam kumpulan yang sama.[22]

BI akan menjadi pelajaran wajib bagi sekolah Melayu dan BM akan menjadi pelajaran wajib di sekolah Inggeris.[23] Laporan Jawatnkuasa Khas itu dibentang di Majlis Perundangan Persekutuan dan diluluskan pada bulan September 1951, kemudian dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1952.[24] Walau bagaimanapun, masyarakat Cina mentafsir ordinan ini sebagai langkah yang akan membinasakan atau menghapuskan pelajaran Cina. Di sini lagi kita dapat perhatikan jawatankuasa yang diwujudkan masih berat sebelah. Hal ini telah mendapat tentangan yang akhirnya membawa kepada pemansuhan jawatankuasa tersebut.

G ) Penyata Razak 1957.

Apabila Perikatan memenangi pilihan raya umum pada tahun 1955, timbul idea atau keperluan untuk mengkaji masalah pendidikan di TM dengan lebih lanjut. Oleh yang demikian, pada tahun yang sama sebuah lagi jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti dasar pendidikan dan merangka satu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat diterima oleh semua penduduk TM. Justeru, pada 30 September 1955, Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato Abdul Razak Dato Hussien telah mengadakan perjumpaan yang pertama. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 9 orang Melayu dan 6 orang bukan Melayu. Pada bulan Mei 1956, jawatankuasa telah mengajukan hasil kajian mereka kepada Majlis Perundangan Persekutuan. Hasil kajian tersebut yang dikenali sebagai Penyata Razak mengutarakan beberapa cadangan iaitu :

i) Usaha mencapai matlamat membina dasar pendidikan kebangsaan dengan bahasa

kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama hendaklah dijalankan secara beransur-

ansur.

ii) Menjelang tahun 1960, semua kanak-kanak di TM yang berumur 6 dan 7 tahun akan

dapat bersekolah.

iii) Menyokong BM sebagai bahasa kebangsaan dengan syarat tidak menyekat bahasa

dan budaya lain di TM.

iv) Sekolah rendah dijalankan dalam empat bahasa dan memberi keutamaan terhadap

sekolah menengah yang menggunakan bahasa kebangsaan.

v) Satu-satunya cara yang boleh menimbulkan pengenalan satu identiti penduduk TM

adalah penggunaan sukatan pelajaran yang sama di semua sekolah dan buku teks

hendaklah berorientasikan kehidupan di TM.[25]

Dari segi perpaduan, Penyata Razak 1956 menyatakan :

Tujuan dasar pelajaran di-dalam negeri ini ia-lah bermaksud hendak menyatukan budak2 daripada semua bangsa di-dalam negeri ini dengan memakai satu peratoran pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sa-bagai bahasa pengantar yang besar, walau pun perkara ini tiada dapat di-laksanakan dengan serta merta melainkan hendak-lah di-perbuat dengan beransor2 ( Penyata Razak, perenggan 12 )[26]

Penyata Razak dengan jelasnya mengutamakan perpaduan negara sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Ini bermakna bahawa unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan dijadikan teras dasar pendidikan kebangsaan untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum.[27] Untuk mencapai matlamat perpaduan negara ini melalui sistem pendidikan, Penyata Razak telah menggariskan dua asas utama iaitu sistem persekolahan yang sama bagi semua kurikulum sekolah yang sama kandungannya dan bercorak kebangsaan.[28] Pada Mac 1957, Penyata Razak dikuatkuasakan sebagai Dasar Pelajaran 1957 dan mula dilaksanakan pada 1 Julai 1957.[29] Lihat lampiran untuk melihat sistem pendidikan Malaysia dalam tahun 1956 ( dipetik dari buku J. S. Solomon )

H ) Penyata Rahman Talib 1960.

Selepas pilihan raya 1959, Dasar Pelajaran 1957 dikaji semula dengan penubuhan sebuah jawatankuasa penyemak pelajaran yang dibentuk pada 18 Feb 1960. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Pelajaran TM pada masa tersebut iaitu Abdul Rahman Haji Talib dan mengandungi empat orang ahli UMNO, 3 ahli Malayan Chinese Comunitee ( MCA ) dan seorang ahli MIC. Ianya dibentuk untuk meneliti semula pelaksanaan sistem pelajaran yang dicadangkan oleh Penyata Razak. Penilaian semula ini perlu dilakukan kerana timbal bantahan dan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak terhadap pelaksanaan Penyata Razak. Misalnya, guru-guru Melayu tidak puas hati kerana tiada ketegasan dalam melaksanakan bahasa kebangsaan. Persatuan Guru-guru Sekolah Cina membantah sesentengah cadangan dalam Penyata Razak yang dikatakan mengabaikan pendidikan BC. Jawatankuasa ini kemudiannya mengeluarkan laporan yang dikenali sebagai Laporan Rahman Talib.

Mengikut Laporan Rahman Talib, kesimpulan yang didapati daripada kajian Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ialah kebanyakan cadangan dalam Laporan Razak telah dilaksanakan dengan lancar di antara tahun 1958 dan 1959.[30]

Kami berpendapat bahawa masalah-masalah pelaksanaan polisi pendidikan kebangsaan telah diatasi dan ketiga-tiga dasar pendidikan baru itu telah dilaksanakan dengan sempurna. Ketiga-tiga dasar pendidikan baru itu ialah perkenalan suatu sukatan yang sama untuk semua jenis sekolah ; pembentukan suatu program latihan guru selaras dengan perkembangan sekolah berdasarkan kepada polisi pendidikan kebangsaan ; dan pembekalan tempat-tempat di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar mengikut pilihan ibu bapa untuk setiap kanak-kanak di dalam lingkungan umur persekolahan dasar.[31]

Pada umumnya, Penyata ini memperbaiki dan memperkemaskan lagi kandungan Penayata Razak. Penyata ini mencadangkan supaya umur persekolahan murid-murid dinaikkan daripada 12 tahun kepada 15 tahun. Murid-murid yang gagal memasuki sekolah menengah rendah ditawarkan untuk meneruskan pengajian di sekolah lanjutan yang kemudiannya dikenali sebagai sekolah vokasional selama tiga tahun. Bagi menjamin semua kanak-kanak berpeluang mendapat pendidikan, Penyata Rahman Talib mencadangkan sekurang-kurangnya pelajaran di peringkat rendah diberi percuma. Selain itu, sebagai persiapan memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan, Sekolah Umum ditukar kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Umum diubah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan.[32]

Di samping itu, terdapat dua aspek yang terkandung dalam laporan ini :

i) Mencadangkan penggunaan BM sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah bantuan

kerajaan

ii) menetapkan BM dan BI sebagai bahasa digunakan dalam peperiksaan.

Dalam usaha memupuk perpaduan melalui pendidikan, sistem peperiksaan perlu diselaraskan. Oleh itu, Penyata Rahman Talib mencadangkan supaya peperiksaan Junior Middle III dan peperiksaan Senior Middle III dimansuhkan. Penyata ini juga menekankan supaya diperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah rendah dengan menukarkan bahasa pengantar sekolah yang menggunakan BI kepada bahasa kebangsaan. Sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Seterusnya penyata ini mencadangkan supaya kemudahan hendaklah diberi untuk mengajar mata pelajaran agama Islam, jika terdapat sekurang-kurangnya 15 orang murid yang beragama Islam. Begitu juga, BC dan BT hendaklah diajar jika terdapat sekurang-kurangnya 15 orang murid Cina atau India, BC dan BT hendaklah diajar. Laporan ini dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan dan dikuatkuasakan sebagai Akta Pelajaran 1961.[33] Dua laporan yang disarankan dijadikan kompenen intergrasi di dalam Akta Pelajaran 1961.[34] Pelaksanaan akta ini diperluaskan meliputi dasar pendidikan di Sabah dan Sarawak. Sejak itu, perkembangan pendidikan kebangsaan adalah berdasarkan dasar seperti mana yang tercatat dalam Akta Pelajaran 1961.

KESIMPULAN

Kesan Perang Dunia Kedua dan berlakunya darurat telah menyedarkan kerajaan Briritsh untuk memberi perhatian khusus terhadap sistem pendidikan di TM. Seperti mana yang kita lihat penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa telah menyaksikan usaha serius pihak British dalam meningkatkan mutu pendidikan di TM. Memang kita tidak nafikan bahawa setiap jawatankuasa yang ditubuhkan telah memberikan reaksi pelbagai dari golongan masyarakat khasnya masyarakat Cina, India dan Melayu sendiri. Apa yang kita dapat lihat adalah kelemahan demi kelemahan telah diatasi sehingga wujudnya satu sistem pendidikan yang amat jelas dan sistematik seperti mana wujud sehingga kini. Pada pandangan saya, melalui Penyata Barnes hubungan antara kaum semakin longgar sehingga mencetuskan pelbagai bantahan dengan menghantar memorandum kepada pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, pihak kerajaan mengambil langkah dengan bermulanya dari Penyata Razak sudah menampakkan isu perpaduan dalam sistem pendidikan semakin jelas sehinggalah tertubuhnya Penyata Rahman Talib seterusnya TM telah mempunyai sistem pendidikan yang bersepadu ke arah mencapai perpaduan masyarakat.




RUJUKAN

- Abu Bakar Nordin, Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020, Kuala Lumpur : Nurin Enterprise, 1994.

- Educational Planning and Research Division, Education in Malaysia : A Journey To Excellence, Kuala Lumpur : Ministry of Education Malaysia, 2001.

- J . S. Solomon, The Development of Bilingual Education in Malaysia, Petaling Jaya : Pelanduk Publications, 1988.

- Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979.

- Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee, Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman, 1988.

- Paul Chang Ming Phang, Educational Development In A Plural Society A Malaysian Case Study, Pulau Pinang : Academia Publications, 1973.

- Penyata Jawatan-kuasa Pelajaran 1956, Kuala Lumpur : Caxton Press Ltd, 1956.



[1] Sang, M. S. dan Mee, L. S, Siri Pendidikan Guru : Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd, 1988,.

[2] Paul Chang Ming Phang, Educational Development in Plural Society a Malaysian Case Study, Pulau Pinang : Academia Publications, 1973.

[3] Ibid, hlm 40 juga terdapat pada buku Sang, M. S. dan Mee, L.S, Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia.

[4] Sang, M. S, dan Mee, L. S, Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia.

[5] Abu Bakar Nordin, Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020.

[6] Sang, M. S. dan Mee, L. S, Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia.

[7] Ibid, hlm 37

[8] Ibid

[9] Ibid

[10] Sang, M. S. dan Mee, L. S, Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia, hln 37

[11] Paul Chang Ming Phang, Educational Development in a Plural Society a Malaysian Case Study, hlm 41

[12] Sang, M. S. dan Mee, L. S., Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia, hlm 38

[13] Paul Chang Ming Phang, Educational Development in a Plural Society a Malaysian Case Study, hlm 43

[14] Abu Bakar Nordin, Reformasi Pendidikan dalam menghadapi cabaran 2020, Kuala Lumpur : Nurin Enterprise, 1994, hlm 11

[15] J. S. Solomon, The Development of Bilingual Education in Malaysia, hlm 26

[16] Abu Bakar Nordin, Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020, hlm15

[17] Sang, M. S. dan Mee, L. S., Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia, hlm 38-39

[18] Ibid, hlm 39

[19] Ibid, hlm 39

[20] J. S. Solomon, The Development of Bilingual Education in Malaysia, hlm 28

[21] Ibid

[22] Ibid

[23] Ibid

[24] Ibid.

[25] Penyata Jawatan-kuasa Pelajaran 1956, Kuala Lumpur : Caxton Press Ltd, 1956.

[26] Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979.

[27] Educational Planning and Research Division, Education in Malaysia : A Journey To Excellence, Kuala Lumpur : Ministry of Education Malaysia, 2001.

[28] Ibid.

[29] Sang, M. S. dan Mee, L.S., Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia.

[30] Ibid.

[31] Report of the Education Review Committee, Kuala Lumpur : The Government Press, 1960

[32] Sang, M. S. dan Mee, L. S., Siri Pendidikan Perguruan : Pendidikan di Malaysia.

[33] Ibid..

[34] Educational Planning and Research Division, Education In Malaysia : A journey To Excellence.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP