Nasionalisme - Sebab-sebab Kegagalan Masyarakat Asia Tenggara Mencapai Kemerdekaan daripada Kolonial pada Abad ke 20
Perkembangan nasionalisme dikalangan masyarakat di Asia Tenggara hanya bermula sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad yang ke-20. Akibat daripada dasar-dasar pemerintahan yang dilaksanakan oleh kolonial yang tidak memuaskan hati penduduk tempatan, maka kesedaran masyarakat untuk mengusir dan menghalau kuasa Barat dari bumi Asia Tenggara tersemai. Di Vietnam, penduduknya berusaha menentang kuasa barat seperti Peranchis, di Indonesia penduduk menghalang penguasaan oleh Belanda, di Tanah Melayu dan Burma penduduk tempatan berusaha menentang kuasa British dan di Filipina, penduduk tempatan berusaha mengusir kuasa penjajah dari Amerika. Semua tindakan mereka ini disebabkan oleh kemunculan semangat Nasionalisme dikalangan pendudukya mereka sendiri.
Di Burma, penglafazan pertama nasionalisme adalah ertikata yang sebenar telah muncul sebagai satu bantahan agama terhadap pemakaian kasut di dalam rumah-rumah berhala. Manakala, di negara Filipina pula, pergerakan menentang kuasa penjajah dilakukan lebih awal iaitu sekitar alhir abad ke-19 apabila kedudukan mereka akibat daripada keadaan ekonomi, tindakan kejam kerajaan, himpitan-himpitan dan ketidakadilan oleh paderi-paderi dan pegawai-pegawai kerajaan. Pada tahun 1872, satu peristiwa yang menimbulkan kemarahan orang Filipina terhadap orang Sepanyol tercetus apabila tiga orang paderi Filipina telah digantung di khalayak orang ramai.
Manakala, seorang sarjana bernama Brian Harisson pula menyatakan dalam bukunya bertajuk Asia Tenggara Satu Sejarah Ringkas bahawa pertumbuhan semangat kebangsaan di kalangan Asia Tenggara disebabkan perkembangan dan meluasnya sistem pelajaran dan pendidikan pada masa itu. Beliau menambah lagi bahawa pelajaran bukan sahaja menyerap fahaman politik yang memang terkandung dalam kebudayaan barat tetapi pelajaran mendorong terbitnya kritikan daripada orang perseorangan.
Hans Khon dalam bukunya bertajuk The Idea of Nasionlisme menulis bahawa nasionalisme sebagai satu keadaan fikiran yang menyerap masuk ke jiwa sebahagian besar rakyat dengan mengiktiraf negara bangsa sebagai satu bentuk organisasi politik yang unggul dan bangsa sebagai punca bagi semua kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan. Sememangnya, tindakan penduduk Asia Tenggara menentang kuasa kolonial dari negeri mereka merupakan satu usaha yang yang didorong oleh kemunculan kesedaran dan hak mereka sebagai masyarakat asal yang mempunyai hak dan priority terhadap bumi yang mereka sedang pijak. Tindakan orang Asia Tenggara menentang kuasa kolonial semakin giat dijalankan pada abad ke-20 khususnya sekitar 1900 sehingga sebelum perang dunia pertama. Namun, segala usaha mereka untuk menentang kuasa penjajah ini dalam usaha menuntut kemerdekaan gagal. Kegagalan ini telah didorong oleh beberapa perkara yang sememangnya menjadi aspek kelemahan orang di Asia Tenggara itu sendiri.
1) Perbezaan Fahaman Dan Ideologi.
Di Asia Tenggara, kebanyakkan daripada badan-badan perjuangan oleh nasionalis di sesebuah negara mempunyai fahaman dan ideologi lebih daripada satu. Kewujudan lebih daripada satu fahaman dan ideologi ini di sesebuah negara ini disebabkan oleh kepelbagaian jenis masyarakat yang terdapat Asia Tenggara. Contohnya, pergerakan parti menuntut kemerdekaan di Vietnam yang jelas terbahagi kepada dua corak dan ideologi. Seorang sarjana bernama Abu Talib Ahmad menyatakan dalam tulisan beliau bertajuk Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara bahawa parti-parti pergerakan politik yang wujud di Vietnam sebelum tahun 1941 boleh di bahagikan kepada dua corak iaitu parti yang bercorak Revolusionari dan parti yang tidak bercorak Revolusionar. Parti yang bercorak Revolusionari merupakan satu pertubuhan yang tidak inginkan kerjasama dengan kolonial iaitu Perancis seperti Parti Perlembagaan. Manakala, parti yang tidak revolusionari pula merupakan satu pertubuhan yang menjalankan dasar perjuangan menentang kuasa penjajah dengan menjalankan kerjasama dengan kuasa kiolonial Peranchis seperti Parti Nasionalis Vietnam. Perjuangan Parti Perlembagaan untuk mencapai kemerdekaan adalah gagal kerana ianya menjalankan satu dasar yang sia-sia untuk bekerjasama dengan kerajaan penjajah dengan harapan akan mendapat lebih banyak lagi kemajuan politik. Memandangkan tidak berkesannya pendirian sederhana mereka, ramai nasionalis dan puak pelampau menggesa supaya dijalankan langkah-langkah yang lebih tegas.
Manakala pertubuhan Vietnam Quoc Dan Dang (VNQDD) ataupun dikenali sebagai Parti Nasionalis Vietnam. Pertubuhan ini adalah berunsurkan kepada fahaman anti-komunis dan pro kepada fahaman parti Kuomintang dari negara China. Pertubuhan ini telah diasaskan oleh sekumpulan penerbit buku yang dipimpin oleh Nguyen Thai Hoc pada tahun 1927. Pada asasnya, perjuangan parti ini menggunakan cara revolusionari bagi menubuhkan sebuah republik kerajaan di Vietnam dan ianya bersifat kongsi gelap. Namun, perjuangan parti ini gagal mencapai matlamaynya kerana tidak berjaya mewujudkan rancangan perubahan-perubahan sosial.
Selain daripada situasi yang wujud di negara Vietnam, di Indonesia juga jelas wujud perbezaan ideologi dan fahaman dikalangan parti-parti nasionalis. Contohnya, pertubuhan Sarekat Islam dengan Parti Komunis Indonesia. Jelas sekali pertentangan dan perbezaan pendapat dan ideologi yang didokong oleh kedua-dua parti ini. Pertubuhan Sarekat Islam ditubuhkan oleh Haji Samahudi iaitu seorang peniaga batik yang terkemuka dari Surakarta. Tokoh terpenting dalam pertubuhan Sarekat Islam ialah Umar Said Tjokroaminoto iaitu seorang Priyayi yang berpendidikan Belanda dan bijak berpidato. Sarekat Islam pada mulanya merupakan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan aspek ekonomi iaitu kebebasan ekonomi daripada orang-orang Cina. Kumpulan ini telah mengadakan kongresnya yang pertama pada tahun 1913. Parti ini lebih bersifat tertumpu kepada perjuangan untuk orang-orang Islam dengan ahli-ahlinya terdiri daripada rakyat-rakyat Indonesia yang beragama Islam. Pada tahun 1923, ahli-ahli radikal dari Sarekat Islam telah di singkirkan daripada pertubuhan tersebut. Mereka ini kemudian telah menyertai Parti Komunis Indonesia. Manakala, Parti Komunis Indonesia (PKI) pula muncul selepas pengaru Sarekat Islam berkurangan. Pertubuhan ini menggunakan fahaman Komunis oleh Karl Marx dari Soviet Union.
Daripada apa yang telah dibincangkan diatas jelas bahawa kebanyakkan daripada pertubuhan yang muncul di Asia Tenggara mempunyai fahaman dan peganggan ideologi yang berbeza-beza. Ini telah menyukarkan sesebuah wilayah jajahan Kolonial Barat membebaskan diri mereka daripada penjajah dan juga mencapai kemerdekaan. Ini kerana, perbezaan ini telah memecahbelahkan masyarakat di sesebuah wilayah dan juga pertentangan tentang jenis negara yang ingin dibentuk sekiranya kemerdekaan itu berjaya di capai.
2) Taraf Pendidikan.
Sememangnya kedatangan kuasa Barat menjajah Asia Tenggara bukanya bertujuan untuk memajukan wilayah-wilayah jajahan mereka, sebaliknya hanyalah untuk mengeksplotasikan wilayah-wilayah di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan di negara mereka sendiri iaitu di Eropah. Kalau adapun kemajuan yang dikecapi di Asia Tenggara semasa era penjajahan, itu dilakukan oleh kolonial kerana untuk memenuhi keperluan dalam usaha mereka menguatkan cengkaman dan penguasaan di rantau ini. Kemajuan yang tidak memadai itu dilakukan oleh kolonial kerana terpaksa dengan situasi semasa pada masa tersebut. Apa yang paling ketara dalam aspek pembangunan ialah pendidikan.
Dalam aspek pendidikan di rantau Asia Tenggara, para kolonial terpaksa membina sekolah-sekolah bagi tujuan kepentingan mereka. Contohnya, penubuhan Penang Free School di Pulau Pinang dilaksanakan oleh British bagi melahirkan sebilangan kecil masyarakat yang boleh membantu British dalam urusan pentadbiran agar ia berjalan lancar. Walaupun demikian, taraf pendidikan di rantau ini masih lagi boleh dikatakan mundur sebelum 1941 kerana bilangan sekolah yang dibina hanya sedikit sahaja yang wujud, itupun di kawasan bandar sahaja dan hanya terbatas kepada anak-anak Eropah dan golongan kerabat diraja dan elit sahaja. Ini menyebabkan jumlah masyarakat yang berpendidikan adalah sedikit. Sebagai contoh di Burma, sekitar tahun 1936 hingga 1937, menurut laporan pelajaran lima tahun akhir sebelum perang berlaku, hanya tujuh orang Burma sahaja yang menerima ijazah sains kaji alam, empat orang dalam perubatan dan dua orang dalam kejuruteraan. Jumlah sekolah yang sedikit ini menyebabkan masyarakat tidak terdedah kepada idea-idea dari luar khususnya yang berkaitan dengan politik dan nasionalisme. Ini menyebabkan, perjuangan mereka ‘terlalu mentah’ kerana tanpa idea-idea yang bernas dalam misi memperjuangkan kemerdekaan. Perjuangan yang ‘mentah’ ini dengan mudahnya di sekat dan tangani oleh kerajaan kolonial.
Manakala di kawasan kampung-kampung pula, pihak penjajah membiarkan sahaja institusi pendidikan tradisional beroperasi. Kuasa kolonial tidak menghapuskan sama sekali sekolah-sekolah tradisional ini seperti sekolah Pondok di kalangan masyarakat Melayu di Tanah Melayu, malah membiarkan ianya berkembang sendiri. Akibatnya, wujud dua buah golongan berpendidikan semasa zaman kolonial yang mempunyai ideologi yang berbeza iaitu golongan yang berpendidikan Barat dengan golongan berpendidikan Tradisional. Pertembungan antara kedua-dua golongan ini menyukarkan kerjasama dalam mencapai matlamat perjuangan iaitu kemerdekaan kerana golongan berpendidikan sekolah Inggeris lebih cenderung kepada idea-idea sekularisme dari Barat, manakala golongan berpendidikan tradisional pula cenderung kepada ilmu-ilmu agama seperti fahaman agama Islam di kalangan murid-murid sekolah pondok di Tanah Melayu dan fahaman ajaran Konfusius dikalangan murid-murid di sekolah Tradisional Konfusius di Vietnam. Akibat daripada pertembungan ini, maka golongan ini memperjuangkan matlamat mereka secara terasing tanpa ada penyatuan malah wujud konflik antara mereka. Keadaan ini telah menyumbang kepada kegagalan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah Barat sebelum tahun 1941.
3) Masyarakat Majmuk.
Keadaan masyarakat di Asia Tenggara yang bersifat berbilang kaum juga merupakan antara sebab mengapa perjuangan menuntut kemerdekaan di rantau ini gagal mencapai kemerdekaan. Seperti yang kita ketahui, masyarakat rantau Asia Tenggara mempunyai pelbagai kaum yang kecil dan besar. Contohnya di Indonesia, masyarakatnya terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum antaranya kaum Batak, kaum Jawa, kaum Bugis, kaum Acheh, Dayak, Timor dan Tator. Di Tanah Melayu pula, terdapat kaum Melayu yang dipisahkan oleh negeri masing-masing seperti Johor, Kelantan, dan sebagainya, kaum Minangkabau, kaum Bugis, orang Portugis, orang Baba Nyonya dan orang Chetiar. Keadaan ini telah menyukarkan penyatuan masyarakat untuk di Asia Tenggara dalam menuntut kemerdekaan kerana setiap kaum ingin perjuangkan bangsa masing-masing. Disamping itu juga, perbezaan budaya antara kaum juga telah membataskan pergaulan dan kerjasama antara mereka. Contohnya dari segi bahasa, di mana pada masa tersebut hampir keseluruhan daripada masyarakat di Asia Tenggara hanya tahu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Dengan itu, komunikasi dan perhubungan antara kaum agak terhad dan terbatas. Ini menghalang masyarakat untuk menjalinkan kerjasama dan seterusnya muncul pertubuhan-pertubuhan yang hanya berkepentingan untuk kemajuan kaum masing-masing.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan kemasukan buruh asing dari negara India dan China untuk memenuhi keperluan tenaga buruh dalam aspek perlombongan dan penanaman getah. Ini telah mencorakkan lagi masyarakat majmuk di Asia Tenggara khususnya di Tanah Melayu. Sebagai contoh pada tahun 1937, penduduk Cina di Tanah Melayu adalah berjumlah 41.3 % daripada keseluruhan penduduk di Tanah Melayu dan India seramai 14.8% daripada penduduk Tanah Melayu. Kedatangan masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu hanyalah bertujuan dalam aspek ekonomi sahaja. Mereka menganggap bahawa Tanah Melayu hanyalah tempat pencarian sumber kehidupan mereka dan bukannya sebagai sebuah negara mereka. Ertinya disini, masyarakat Cina dan India masih lagi menganggap bahawa negara mereka adalah China dan India. Segala perjuangan nasionalisme mereka hanyalah ditujukan kepada India dan China dan bukannya Tanah Melayu. Ketiadaan semangat kebangsaan dikalangan kaum Cina dan India untuk Tanah Melayu menyebabkan perjuangan menuntut kemerdekaan untuk Tanah Melayu gagal kerana hanya diterjemahkan oleh kaum Melayu sahaja. Dengan itu, perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu agak lembab kerana bilangan ahlinya yang sedikit dan tiada penyatuan yang menyeluruh di kalangan kaum di Tanah Melayu pada masa tersebut.
4) Perjuangan Yang Tidak Menyeluruh Dan terpisah.
Kebanyakkan daripada pejuang nasionalis di Asia Tenggara sebelum tahun 1941 hanya terdiri daripada golongan elit, pertengahan dan kerabat diraja sahaja. Ini kerana, golongan yang pertama sekali menerima tamparan dan kesan negatif akibat daripada penjajahan ini ialah golongan atasan seperti sultan dan para pembesar. Manakala, golongan bawahan pula seperti petani, nelayan dan masyarakat kampung tidak merasai kesan penjajahan ini dan tidak menjejaskan kedudukan dan kepentingan mereka.
Golongan pejuang nasionalis ini majoriti berpendidikan barat dan tempatan. Usaha menyebarkan idea semangat kebangsaan seperti penyebaran risalah dan artikel di kalangan masyarakat tempatan tidak dapat dilakukan dengan berjaya kerana sebilangan besar daripada masyarakat Asia Tenggara pada masa tersebut tidak pandai membaca dan tidak faham dengan apa yang diperjuangkan oleh para nasionalis. Golongan ini merasakan bahawa apa yang diperjuangkan oleh para nasionalis adalah diluar kepentingan diri mereka.
Selain itu juga, keadaan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, berpulau-pulau dan diliputi oleh hutan tebal juga menjadi penghalang kepada usaha menyebarkan idea semangat kebangsaan dikalangan penduduk kampung khususnya di Indonesia dan Filipina. Ketaksampaian ini menyebabkan sebilangan masyarakat tidak mengetahui tentang perjuangan ini dan ini membatasakan usaha kerjasama dikalangan seluruh masyarakat untuk menentang kuasa penjajah. Ini memudahkan pihak kolonial mematahkan sebarang usaha para nasionalis untuk menentang mereka kerana perjuangan hanya terbatas kepada golongan masyarakat bandar dan golongan atasan sahaja.
Selain itu juga, perjuangan tidak menyeluruh juga kerana di akibatkan oleh faktor suku di sesebuah tempat. Contohnya, perjuangan oleh pertubuhan Budi Otomo di Jawa Indonesia yang hanya melibatkan orang Jawa sahaja. Pertubuhan ini di asaskan pada tahun 1908 atas daya usaha sekumpulan penuntut Jawa di sekolah “Doktor Jawa”. Akibat daripada pertubuhan yang berasaskan kaum ini, maka perjuangan itu tidak melibatkan kaum lain seperti kaum Batak, Bugis, Madura dan sebagainya. Strategi perjuangan pertubuhan ini juga telah mendatangkan kemarahan kaum lain seperti kaum Madura dan orang Sunda kerana selalu menggunakan mottonya iaitu “Jawa Besar” yang bermotifkan untuk keagunggan bangsa Jawa. Dengan itu, maka skop perjuangannya adalah kecil dan terbatas dan membawa kepada kegagalan untuk menuntut kemerdekaan.
5) Perjuangan yang lebih berunsur Patriotisme.
Kebanyakkan daripada perjuangan masyarakat Asia Tenggara menentang kuasa penjajah gagal untuk membentuk sebuah kerajaan sendiri kerana ia dilakukan semata-mata hanya kepentingan raja dan status-quo seseorang. Mereka menentang kuasa koolonial bukanya untuk memperjuangkan sebuah entiti politik iaitu negara tetapi sekadar ingin mengembalikan maruah dan darjat masing-masing yang selama ini terjejas kerana kuasa kolonialisme.perjuangan yang bersifat seperti ini berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dalam erti kata yang lain, mereka ini hanyalah bersifat pejuang Patriotisme dan bukannya pejuang Nasionalisme. Menurut Abdul Rahim Abdul Rashid, Patriotisme itu merupakan satu perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan sesebuah bangsa. Ia menonjolkan semangat juang yang tinggi untuk mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa.
Contohnya, penentangan terhadap kuasa kolonial yang berlaku di Burma pada penghujung abad yang ke-19 dimana dalam ertikata yang sebenar, penentangan ini muncul sebagai satu bantahan agama terhadap pemakaian kasut di dalam rumah-rumah berhala. Mengikut adat orang-orang Burma, rumah-rumah berhala ini adalah suci dan dengan itu hanya boleh masuk dengan menanggalkan kasut. Tindakan para pegawai British masuk ke rumah berhala tanpa menanggalkan kasut telah menimbulkan kemarahan masyarakat Burma kerana ia adalah satu tindakan yang biadap. Dalam hal ini jelas bahawa perjuangan masyarakat Burma menentang British hanyalah untuk kepentingan budaya dan imej mereka semata-mata dan bukannya untuk memperjuangkan sebuah negara yang merdeka. Mereka hanya mahukan supaya tindakan para pegawai British yang biadap itu dihentikan dan mengikut alunan budaya tempatan.
Selain itu, di Vietnam juga dapat kita lihat tentang situasi perjuangan menentang kuasa kolonial yang tidak bersifat nasionalisme tetapi lebih bersifat patriotisme. Ini dapat dilihat dalam beberapa usaha menentang kuasa kolonial yang lebih bersifat untuk menjaga kepentingan kuasa dan status-quo raja. Contohnya, satu serangan secara mengejut telah dilakukan pada Julai 1885 terhadap resident superieur Peranchis yang pertama di Vietnam tengah. Namun usaha pemberontakan ini menemui kegagalan dan ahli-ahli pemberontak ini melarikan diri dengan membawa bersama maharaja Ham-nghi yang masih kecil. Dalam hal ini jelas bahawa perjuangan yang dipelopori oleh kaum kerabat diraja hanyalah bertujuan dalam memperjuangkan kuasa dan status-quo raja sahaja. Dengan itu, segala usaha penentangan yang dilakukan menemui kegagalan kerana skopnya yang kecil iaitu hanya dikalangan kerabat diraja sahaja dan tidak meliputi kepentingan rakyat.
6) Kekuatan Penjajah.
Sememangnya kuasa penjajah jauh lebih kuat daripada apa yang dimiliki oleh para pejuang tempatan sebelum 1941. Pihak kolonial mempunyai kemampuan untuk membeli sejumlah besar alat senjata perang seperti meriam, pistol dan senapang yan canggih. Manakala, para pejuang tempatan pula hanya mampu untuk memiliki alat senjata yang ringan dan tradisi seperti parang, keris dan sumpit sahaja. Kalau adapun alat senjata yang moden, ia hanya terbatas kepada alat senjata seperti pistol yang sedikit. Dalam aspek ini, maka tidak hairanlah mengapa usaha perjuangan yang dilakukan oleh masyarakat tempatan Asia Tenggara terhadap kolonial menemui kegagalan kerana kedaifan alat senjata. Akibat daripada kedaifan alat senjata ini, maka pemberontakan yang dilakukan oleh pejuang tempatan seperti Mat Selleh di Borneo Utara, Tok Janggut di Tanah Melayu dan Shariff Masahor di Sarawak dengan mudah ditumpaskan. Disamping itu juga, anggota tentera kolonial mempunyai kepakaran dan pengalaman perang yang mendalam. In kerana, mereka selalu terdedah dengan peperangan yang berlaku di Eropah seperti perang saudara dan perang dunia pertama. Ini memberi kelebihan kepada pihak Eropah di Asia Tenggara untuk menamatkan setiap perjuangan yang dilakukan oleh pejuang tempatan.
Selain daripada aspek ketenteraan, dasar pemerintahan yang diamalkan oleh kolonial di rantau ini juga menggagalkan segala usaha perjuangan masyarakat tempatan. Contohnya dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh British di Tanah Melayu dimana British memerintah Tanah Melayu secara ‘Divine and Rule’. Dalam dasar pemerintahan yang dilaksanakan ini, British memerintah secara terpisah mengikut kaum dalam aspek pekerjaan dan tempat tinggal. Contohnya, kaum India bekerja sebagai peladang dan tinggal di estet-estet getah, kaum Cina tinggal bandar dan kawasan lombong dan bekerja sebagai peniaga dan pelombong. Manakala kaum Melayu pula bekerja sebagai petani dan nelayan dan tinggal di kawasan kampung-kampung. Akibat daripada dasar ini, maka hubungan antara kaum berada dalam keadaan yang tidak baik kerana komunikasi yang terhad dan persefahaman tidak dapat dipupuk. Maka, perjuangan untuk menentang penjajah menjadi lemah kerana tidak ada penyatuan dikalangan kaum. Akibat daripada tiada penyatuan ini, maka wujud pertubuhan-pertubuhan mengikut kaum masing-masing untuk menentang penjajah bagi kepentingan kaum tertentu sahaja bukanya untuk sebuah negara yang meliputi seluruh kaum dan rakyat tempatan. Dari aspek ini, kita dapat lihat bahawa dasar penjajah yang memupuk jurang perbezaan antara kaum telah menimbulkan pertindihan perjuangan kepentingan antara kaum dan ini memberi kelebihan kepada penjajah untuk mengawal dan menangani setiap perjuangan daripada rakyat tempatan.
Secara kesimpulannya, perjuangan untuk menentang kuasa penjajah di Asia Tenggara menemui kegagalan untuk mencapai matlamatnya iaitu kemerdekaan kerana kelemahan yang wujud dikalangan masyarakat tempatan. Contohnya, perjuangan yang hanya melibatkan golongan atasan seperti mana yang berlaku di Vietnam pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan kerabat diraja dan pembesar. Disamping itu juga, kemunduran masyarakat tempatan juga menyumbang kepada kegagalan perjuangan mencapai matlamat kemerdekaan. Dalam aspek ini, kita dapat dilihat dari segi taraf pendidikan dimana hanya sebilangan kecil sahaja pejuang yang berpendidikan. Ini kerana bilangan sekolah yang sedikit pada masa tersebut. Selain itu,kemunduran masyarakat juga dapat kita lihat melalui alat-alat senjata yang daif digunakan dalam pemberontakan terhadap kolonial. Dalam kegagalan ini juga, rancangan masa panjang yang diamalkan oleh kolonial telah mengagalkan usaha perjuangan. Contohnya, pihak British sengaja menjaakan dasar pecah dan perintah di Tanah Melayu sejak dari awal lagi agar satu hari nanti masyarakatnya tidak bersatu apabila wujud rasa tidak puas hati terhadap pemerintah.
Namun, aspek perjuangan ini tidak hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang telah saya sebutkan diatas. Peristiwa perang dunia pertama dan kejayaan tentera Jepun menguasai dan menakluki Tanah Melayu merupakan salah satu faktor mengapa usaha perjuangan untuk menuntut kemerdekaan gagal. Kegagalan kuasa kolonial mempertahankan tanah jajahannya di Asia Tenggara telah mewujudkan satu lagi corak pentadbiran yang lain daripada apa yang diamalkan oleh kuasa Eropah. Maka dengan itu, bermulanya satu lagi era baru di rantau Asia Tenggara. Segala corak perjuangan juga haruslah baru kerana pihak yang ditentang juga adalah baru.
Bibliografi
1) Abdul Rahman Abdul Rashid, Patriotisme Agenda pembinaan Bangsa: Utusan publications & Distributors Sdn. Bhd.,Kuala Lumpur. 2004
2) Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara: Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd, Kuala Terengganu. 1991
3) Harisson, Brian, Asia Tenggara: Satu Sejarah Ringkas; Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966
4) Khoo, Gilbert Dan Lo, Dorothy, Asia Dalam Perubahan: Sejarah Tenggara, Selatan Dan Timur, Heinemann Educational Books (Asia) Ltd, Kuala Lumpur.
5) Steinberg, David Joel Dan Et. Al, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kuala Lumpur.1981
6) Vinacke, Harold M, Sejarah Timur Jauh Dalam Zaman Moden: Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur, 1967
0 comments:
Post a Comment