Nasionalisme di Asia Tenggara.
Nasionalisme adalah berasal dari istilah perkataan Inggeris iaitu nasionalisme.Nasionalisme adalah terbit dari perkataan nation yang berasal daripada bahasa Latin iaitu nacio yang bererti bangsa.Di eropah konsep nation ini telah menjadi tunjang perpaduan ,kemegahan serta kedaulatan sesuatu bangsa dengan timbulnya gagasan nation-state (Negara bangsa) dengan tercetusnya revolusi Perancis 1879.Oleh itu,Nasionalise merupakan satu fenomena sejagat yang mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia ini untuk menubuhkan negaranya tersendiri,memindahkan kedaulatan kepada rakyat ,serta menuntut kedaulatan ulung individu disalurkan kepada Negara bangsa itu.Disini orang eropah telah mengaitkan ketaatan dan perpaduan mereka sebagai satu kaum yang berasaskan agama iaitu Kristian,manakala ketaatan ini telah diberikan kepada raja atau dinasti.Hans Khon menyatakan bahawa nasionalisma adalah satu keadaan dimana satu kepercayaan politik yang menjadi asas kepada hubungan komuniti moden dengan hak tuntutan mereka terhadap pihak berkuasa.Nasionalisme juga berfokus kepada kesetiaan majoriti manusia berdasarkan Negara-bangsa sama ada wujud atau diperlukan.Oleh itu,Nasionalisme juga boleh didefinisikan sebagai melahirkan perasaan cintakan tanah air dalam usaha untuk membentuk sebuah negara bangsa.Oleh sebab itu juga, perkataan nasionalisme berkait dengan dua perkara iaitu kewarganegaraan dan semangat patriotik.Dalam hal ini,Kewarganegaraan adalah menuntut perpaduan politik dan kedaulatan kemerdekaan, manakala semangat patriotik pula adalah bermakna cintakan tanah air.Pendek kata, nasionalisme boleh dikatakan sentimen kesetiaan yang mengikat sekumpulan masyarakat menerusi institusi mahupun budaya yang sama bagi perpaduan di kalangan mereka yang seterusnya akan mencapai pembentukan negara yang merdeka.
Menurut Suntharalingam dan Abdul Rahman Ismail terdapat 2 bentuk Nasionalisme di Asia.Pertama adalah usaha menamatkan penjajahan serta merombak nilai dan institutsi politik secocok dengan konsep Negara bangsa yang bebas dan berdaulat.Keadaan ini dapat dilihat di Vietnam dan Burma.Manakala yang kedua adalah usaha untuk menghapuskan sistem kerajaan tradisional untuk mewujudkan negara bangsa yang iktiraf kedaulatan rakyat dan menyalurkan kesetiaan ulung rakyat itu kepada negara bangsa berkenaan.Keadaan ini pula dapat dilihat di Jepun dan China. Disini terdapat beberapa keadaan – keadaan dan faktor-faktor yang telah membawa kepada kemunculan nasionalisme di Asia Tenggara sepanjang 1870 hingga 1920.
Diantaranya adalah perkembangan perhubungan yang pesat.Disini terdapat perkembangan perhubungan yang menghubungkan bandar-bandar seperti Rangoon,Bangkok,Hanoi atau Saigon dengan eropah.Ataupun perhubungan yang menghubungkan bandar-bandar utama ini dengan kawasan pinggir dan wilayah telah mendedahkan rakyat tempatan pada dunia luar.Sebagai contohnya berita tentang perang Russia Jepun pada tahun 1904 hingga 1905 telah dapat disebarkan ke seluruh kawasan berikutan adanya perkembangan perhubungan.Keadaan ini jelas apabila berita tentang kemenangan pihak Jepun dalam peperangan menentang Russia dirayakan di Burma.Secara tidak langsung perkembangan ini telah memberi peluang yang berguna kepada masyarakat tempatan untuk meneliti ideologi baru yang lebih relevan kepada perjuangan nasionalisme dengan mengambil kira keadaan tempatan yang berbeza.
Faktor yang seterusnya adalah peranan bahasa dan kesusasteraan.Bahasa merupakan satu kompenen yang penting sebagai alat komunikasi dan sangat penting untuk para nasionalis menyalurkan idea mereka.Peranan bahasa ini adalah boleh dilihat melalui dua aspek utama iaitu peranan tempatan dan peranan bahasa penjajah.Peranan bahasa tempatan ini dapat dilihat di Indonesia dimana, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai alat komunikasi dan sebaran maklumat disamping berperanan penting dalam menyatukan penduduk kerana Belanda telah membenarkan Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan dalam urusan pentadbiran di Indonesia.Pendek kata bahasa Melayu telah menjadi Lingua Franca dan merapatkan perbezaan kaum dan telah menyatukan penduduk Indonesia.Keadaan ini secara tidak lansung telah membolehkan mesej-mesej berbau nasionalisme mudah disebarkan terhadap masyarakat.Kemunculan idea Melayu Raya atau Indonesia Raya kemudiannya telah memperlihatkan perpaduan bangsa Indonesia.Manakala peranan bahasa penjajah dapat dilihat di Filipina dimana bahasa Sepanyol telah berjaya menyatukan masyarakat Filipina walaupun terdapat bahasa Tagalog.Dalam hal ini,bahasa Sepanyol telah diajar di gereja-gereja serta sekolah mubaligh Kristian yang pada masa itu berperanan sebagai tempat pendidikan.Manakala kesusasteraan juga berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat melalui karya-karya para nasionalis.Di Filipina misalnya, Bahasa Sepanyol kesusasteraan adalah berperanan penting sebagai medium alat penyatuan rakyat.Ini dapat dilihat dengan kewujudan karya-karya yang memberi kesedaran untuk rakyat Filipina mengenai penindasan Sepanyol.Karya-karya ini adalah seperti hasil karya Jose Rizal seperti Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku) – 1887 dan El-Filibusterismo (1891) serta Ninay (1885) oleh Dr. Pedro A. Peterno yang membidas pemerintahan Sepanyol.Kedua-kedua novel ini telah menceritakan tentang penderitaan rakyat Filipina dibawah penjajahan Sepanyol serta mengkritik kesatuan-kesatuan agama.Kedua-dua bentuk tulisan ini adalah bersifat gerakan propaganda menerusi penghasilan novel.
Di Indonesia pula, karya-karya seperti Siti Nurbaya oleh Marah Rusli, Hikayat Kadirun oleh Semaun dan Student Hidjo oleh Bakti Siregar digunakan untuk mengkritik Belanda.Manakla di Vietnam karya Phan Boi Chau cuba mendedahkan kelemahan masyarakat Vietnam dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah Perancis.Dalam buku beliau yang pertama iaitu Viet Nam Vong Quoc Su yang ditulis pada tahun 1905 telah menceritakan bagaimana penjajah Perancis menakluki Vietnam dan beliau telah menyeru kepada penduduk tempatan supaya bangkit menentang pemerintahan Perancis. Karya puisi beliau yang bertajuk Hai Ngoi Huyet Thu pula cuba mendedahkan sikap tidak peduli rakyat Vietnam tentang nasib negaranya.Keadaan ini menyebabkan beliau menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar bersatu dan bangkit menentang penjajah Perancis.Manakala Phan Chau Trinh pula pada 1902-1903 telah menulis risalah A new Book about The tears of blood of the ryukyu island.Ini adalah sebuah buku yang ditulis di Vietnam yang menyatakan idea nasionalis semua rakyat Vietnam adalah sebuah negeri yang patut bersatu dan cintakan negerinya. Beliau juga kemudiannya telah menerbitkan buku the history of the lossof Vietnam yang mana telah menjadi 5 buah edisi di China dan turut disebarkan secara sulit ke seluruh Vietnam.
Faktor yang seterusnya adalah peranan media massa.Media massa yang penting sekali disini adalah akhbar dan majalah.Dalam hal ini,akhbar dan majalah telah menjadi medium penting untuk para nasionalis mengeluarkan pendapat dan menyebarkannya kepada masyarakat dalam gerakan kesedaran.Pendek kata,segala idea-idea nasionalisme yang mengkritik mengenai hal kemasyarakatan, agama, ekonomi dan politik dpt disebarkan dengan cepat.Akhbar-akhbar dan majalah ini biasanya telah dicetak dalam bahasa penjajah, bahasa ibunda dan bahasa lain.Di Indonesia misalnya, akhbar seperti Medan Priyayi, Kaum Sunda, Utusan Hindia dan akhbar terjemahan dari bahasa Belanda dan sebagainya telah memuatkan tema-tema politik, kebebasan manusia dan pemansuhan perbezaan kaya dan miskin.
Manakala Di Filipina, penggunaan media massa dapat dilihat sebagai alat propaganda melalui gerakan propaganda di bawah pimpinan Jose Rizal, Marcelo H. del Pilar (Plaridel), Graciano Lopez, Mariano Ponce dan lain-lain.Dalam hal ini,mereka telah menerbitkan akhbar La Solidaridad pada 15 Februari 1889.Penerbitan ini dibuat Barcelona dan kemudiannya telah berpindah ke Madrid. Akhbar ini telah mendedahkan keburukan golongan paderi dan mengalih perhatian kerajaan Sepanyol tentang kekejaman yang dilakukan di Filipina.Mereka bergerak dengan pen dan berus serta kata-kata untuk menuntut reformasi Filipina.Di Vietnam pula,nasionalis-nasionalis seperti Ngugen Phu khai dan Bui Quang Chieu telah menerbitkan La Tribune Indigene sekitar tahun 1920.Akhbar ini telah menjadi alat untuk mengkritik penindasan kerajaan Perancis di Vietnam serta mendedahkan keadaan ekonomi Vietnam yang dikongkong oleh Perancis dan orang Cina.Malahan akhbar ini telah menekankan reformasi yang paling minimum dalam masyarakat kolonial khusus untuk manfaat kelas borjuis yang menetap di Saigon.Manakala akhbar Trung Bac Tan Van (Berita Utara dan Tengah) yang mana telah diterbitkan oleh pensubahat terkenal telah memberi tumpuan kepada masyarakat borjuis di Hanoi.Maka dengan itu jelas peranan akhbar memudahkan pengaliran idea-idea kebangsaan berikutan ianya yang lebih menjimatkan masa dan dapat diedarkan dengan mudah ke seluruh keseluruh tempat.Maka dengan tersebarnya idea tersebut,telah membolehkan masyarakat sedar dengan apa yang diperjuangkan oleh golongan nasionalis.
Faktor yang seterusnya adalah peranan sistem pendidikan.Pengenalan pendidikan oleh pihak Kolonial pada asalnya adalah untuk menyediakan kepada penduduk tempatan dengan ilmu-ilmu sebelum mengambil mereka dalam perkhidmatan awam.Namun pengenalan pendidikan sekular Barat telah mendedahkan masyarakat tempatan dengan idea-idea pembaruan dan falsafah Barat seperti John Locke,Montesquie,Karl Mark,Voltaire dan Plato.Oleh itu,melalui pendidikan ini masyarakat akan terdedah dengan idea-idea yang secara langsung akan melahirkan segolongan tokoh intelektual.Tokoh-tokoh intelektual inilah yang telah menjadi penggerak kepada nasionalisme tempat tersebut kemudiannya.Di Indonesia misalnya, pendidikan Barat melahirkan tokoh-tokoh intelektual.Golongan ini seterusnya telah menjadi tokoh-tokoh pergerakan nasionalis Indonesia.Dalam hal ini sistem pendidikan yang dimajukan adalah sebahagian besarnya telah menggunakan bahasa Belanda.Oleh itu sistem pendidikan penjajah yang diterapkan di Indonesia telah berjaya menghasilkan tokoh nasionalis yang berwibawa seperti Raden Adjeng Kartini, Tjipto Mangunkusomo dan Dr. Mas Wahidin Sudiro yang berperanan membekalkan kepimpinan serta meniup semangat kepada penduduk bagi menentang penjajahan Belanda. Raden Adjeng Kartini misalnya,telah mendapat pendidikan di sekolah rendah Eropah tempatan yang telah menjadi tempat beliau mempelajari bahasa belanda.Keadaan ini memperolehi kesedaran yang seterusnya telah menyebabkan beliau menubuhkan sebuah sekolah di Japara untuk anak-anak perempuan pegawai kerajaan.Manakala Dr. Mas Wahidin pula telah menjelajah Pulau Jawa untuk berkempen tentang perlunya dibina sekolah di desa.Perjuangan ini dibuat adalah berikutan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak Belanda.Manakala di Filipina pula, kemajuan pendidikan telah membangkitkan perasaan para nasionalis.Dalam hal ini,pengenalan Kod Pendidikan (Educational Code) pada 1863 yang diwajibkan dan pendidikan asas percuma yang mana paling tidak pun terdapat sebuah sekolah di setiap Pueblo.Dalam hal ini bahasa Spanyol dan kesusasteraan Sepanyol turut di ajar disini.Dalam hal ini golongan kelas menengah telah memberi pendidikan Barat kepada anak-anak mereka.Diantara anak-anak golongan menengah ini adalah seperti Dr. Jose Rizal, Marcelo H. Del Pilar, Mariano Ponce, Graciano Lopez Jaena, Dr. Pedro A. Paterno yang seterusnya telah muncul sebagai pemimpin nasionalis.Semasa mendapat pendidikan ini,mereka telah terdedah dengan idea-idea moden seperti demokrasi negara merdeka,serta turut menimbulkan kesedaran memperjuangkan negara Filipina yang berdaulat.Pada masa yang dama juga kezaliman dan penindasan penjajah telah mendorong mereka mengatur strategi penentangan terhadap Sepanyol. Pengenalan pendidikan Inggeris di Burma pula telah memberi ruang kepada orang Burma mendapatkan ilmu pengetahuan. Contohnya pada tahun 1884, Maktab Rangoon didirikan bagi menyediakan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Calcutta, India.Institutsi seperti ini adalah berperanan penting sebagai medium untuk menyampaikan idea-idea dalam melahirkan kesedaran masyarakat.Keadaan ini secara tidak langsung telah berjaya menghasilkan para intelek Burma yang mana telah mendapat pendidikan di maktab tersebut yang mana akhirnya telah memimpin gerakan nasionalisme.Para intelek ini adalah seperti Aung San, Thein Pe dan Thi Han yang digelar Thakin.
Faktor yang seterusnya adalah kemunculan golongan intelektual.Kemunculan golongan Intelektual ini juga adalah sedikit sebanyak hasil daripada kesinambungan daripada peranan pendidikan yang diperkenalkan oleh Kolonialis.Dalam hal ini,golongan ini adalah berpendidikan Barat dan dipengaruhi oleh idea-idea seperti Liberal, Nasionalis, Demokrasi, Sosialis dan Marxisme.Seterusnya mereka tidak puas hati terhadap tindakan penjajah yang bertindak memeras kekayaan tempatan dan menindas rakyat tempatan.Keadaan ini dapat dilihat dalam beberapa keadaan seperti peluang pekerjaan yang gagal disediakan untuk mereka serta diskriminasi diamalkan oleh pentadbir Barat.Malahan masyarakat Barat yang disifatkan sebagai pendukung utama idea-idea Demokrasi, Liberalisme dan hak asasi manusia tidak mempraktikkannya ditanah jajahan tidak seperti mana ditanah air mereka sendiri.Di Indonesia pula, Raden Adjeng Kartini (1879-1904) misalnya,adalah berasal daripada keluarga pembesar Jawa.Bapanya adalah Priyayi seorang wali Raja Japara.Beliau adalah seorang yang bersikap terbuka dan mempunyai idea-idea yang matang untuk memajukan bangsanya.Dalam surat-suratnya, beliau telah menyeru kepada masyarakat membebaskan diri daripada pemikiran kolot dan menggalakkan penubuhan sekolah untuk wanita.Beliau seterusnya telah menjadi inspirasi kepada penubuhan penubuhan sekolah untuk wanita diseluruh Jawa.Sekolah ini adalah bertujuan utk meningkatkan dan memajukan kaum wanita dari pelbagai aspek terutamanya pendidikan.Beliau turut menyatakan agar wanita diberi kebebasan dari belenggu tradisional dan perlu diberi pendidikan.Beliau telah merangsang pergerakan nasionalis kebudayaan Indonesia dan turut kritik dasar Belanda layan rakyat Indonesia seperti hamba. Dalam hal ini beliau telah bersama-sama Dr. Mas Wahidin Saediro Hoesoeda mulakan kempen untuk memajukan Jawa disamping turut menekankan perlunya penyebaran pendidikan Barat bagi mencapai kebahagian dan kemakmuran rakyat. Namun beliau telah mati dalam umur yang begitu muda iaitu 24 tahun pada 1904.
Manakala di Vietnam pula Nguyen Thuong Hien, Duong Ba Trac, Phan Boi Chau, Phanh Chan Trinh adalah tulang belakang kebangkitan Vietnam.Corak perjuangan mereka berbeza. Phan Boi Chau yang sejak dari kecil menyebarkan idea serta pendapatnya melalui berkarya.Dalam hal ini beliau menggunakan “berus”untuk menghalau orang eropah dari Vietnam. Manakala Phu Chan Trinh telah mula belajar di sekolah asas China selama 4 tahun dengan sarjana tempatan.Berikutan beliau yang lambat masuk ke sekolah klasik China tersebut menyebabkannya membaca dengan kritikal buku-buku seperti Analects dan Mencius.Beliau juga turut membaca karya-karya seperti Spring and Autum Annals(Xuan Thu),Book of history(Thu Kinh) dan Book of poetry(Thi Kinh).Walaupun begitu,beliau mengamalkan sifat sederhana dan menentang secara terbuka terhadap Perancis.Manakala Nguyen Thuong Hien pula adalah seorang sarjana dari golongan atasan yang antikolonial yang menonjol di utara.Pada tahun 1884 beliau telah berjaya dalam peperiksaan di kawasannya dan kemudiannya telah berjaya ,menonjol dalam peperiksaan Mertopolitan.Oleh itu dalam hal ini beliau telah bertemu dengan Pan Boi Chau dan Pan Chu Trinh dimana beliau telah mendedahkan sentimennya kepada Pan Boi Chau dan Pan Chu Trinh tersebut.Tindakan mereka ini telah didorongi oleh kezaliman penjajah seperti penindasan cukai dan ketidaksempurnaan pendidikan yang diterima penduduk Vietnam.Malahan pendidikan barat telah menghasilkan golongan cerdik pandai yang seterusnya menentang pihak penjajah.Jose Risal misalnya,adalah seorang graduan,intelektual dan berperlembagaan.Beliau telah menubuhkan Liga Filipina yang bertujuan menumpukan kegiatan kearah kemajuan ekonomi dan pelajaran.Pendek kata Liga Filipina ini adalah menumpukan perjuangan terhadap pembangunan masyarakat Filipina.
Selain daripada itu,Pengaruh agama juga telah mempengaruhi kebangkitan nasionalisme di Asia Tenggara.Dalam hal ini,pengaruh agama seperti Islam dan agama Budhha adalah kuat di Asia Tenggara yang seterusnya telah berperanan mengikat perpaduan masyarakat setempat.Di Indonesia misalnya, agama Islam dianggap agama perpaduan.Dalam hal ini,Sarekat Islam telah mengunakan agama Islam bagi mendapatkan sokongan rakyat.Sarekat Islam telah ditubuhkan pada tahun 1912.Sarekat Islam ini telah ditubuhkan oleh Haji Samanhudi iaitu seorang pedagangang batik yang terkemuka di Surakata.Dalam hal ini Sarekat Islam telah menggunakan agama Islam sebagai lambang untuk mendapatkan sokongan rakyat.Sarekat Islam ini telah berperanan melindungi semua saudagar Indonesia dari ditindas oleh saudagar dan peminjam cina yang selalu menindas mereka.Seterusnya pada tahun 1912 Sarekat Islam telah berjaya menarik ramai orang Indonesia dari golongan reformasi untuk menyertainya.Disamping itu juga para Ulama seperti Hj.Agus Salim Dan Abd.Muis telah menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pepaduan diantara umat Islam.Dalam hal ini juga mereka telah berjuang bagi membela agama dan jihad untuk Islam.Keadaan ini telah menyebabkan ramai orang Indonesia mengganggap ini adalah langkah awal menentang orang kafir iaitu Belanda.Manakala Di Burma pula,kebangkitan agama menentang penjajah telah dipelopori oleh golongan Sami Buddha.Dalam hal ini mereka tlh menuntut pihak British utk menanggalkan kasut apabila memasuki Pagoda(kuil).Namun tuntutan mereka ini tidak dipatuhi oleh penjajah British.Oleh itu,perbuatan ini telah mencemarkan kesucian rumh ibadat mereka yang seterusnya menyebabkan mereka berjuang untuk menyedarkan masayarakat tentang masalah kasut yang mencemarkan identiti dan maruah Burma.Selain daripada itu juga,penubuhan Persatuan Belia Agama Buddha telah merangsang semangat Nasionalisme apabila terlibat dalam peristiwa pertikaian kasut, menuntut pembaharuan dalam pemerintahan British dan pemogokan pelajar pada tahun 1920.Dalam hal ini peranan golongan Pongyi (sami-sami Buddha) turut terlibat dalam gerakan menyokong pelajar tersebut.
Faktor yang seterusnya adalah keranan wujudnya pengaruh luar. Diantara pengaruh luar tersebut adalah pengaruh dari Reformasi Mesir.Dalam hal ini,Perjuangan tokoh Islam Jamaluddin al-Afghani (1838-1879) mempengaruhi dan mencorakkan kebangkitan di Asia Tenggara dan Asia Selatan.Perjuangannya telah menekankan kepada “kembali kepada prinsip agama. Dalam hal ini,Pelajar Islam di Asia yang belajar di Mesir terpengaruh dengan reformasi di Mesir di bawah Muhammad Abduh.Sebagai contohnya di Indonesia, Sarekat Islam, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama.manakala di Tanah Melayu pula,orang Islam berketurunan Arab atau Sumatera yang lahir di Tanah Melayu kembali menuntut di Kaherah atau Hijaz dengan semangat yang meluap-luap untuk mereformasikan ajaran Islam dalam masyarakat mereka.
Sebagai kesannya telah wujudnya kaum Muda di Tanah Melayu.Golongan ini telah mendorong kepada penubuhan madrasah mengikut ikut model Mesir.Pembinaan madrasah ini adalah untuk menyebarkan pemikiran mereka.Mereka juga telah melantik orang Mesir untuk menjadi mudirnya.Dalam hal ini Uthman Effendi Raf’at.telah dilantik bagi mengikut sistem model Mesir.Terdapat banyak madrasah dibina dan antaranya adalah madrasah Al-Masahor yang telah menjadi tapak semaian untuk lahirkan anak-anak Melayu yang ditanam dengan semangat kesedaran.Pengaruh luar ini juga telah membawa kepada penerbitan akhbar Al-Imam pada 23 Julai 1906 dalam tulisan Jawi.Akhbar ini telah berjaya diterbitkan sebanyak 30 keluaran dan digerakan oleh Syeikh Tahir Jalaludin dan dibantu oleh Sayyid Syeikh al-Hadidan Haji Abbas Mohd Taha.Penerbitan Akhbar al-Imam ini adalah dipengaruhi oleh akhbar Al-Manar terbitan Rashid Rida.Dalam hal ini,akhbar Al-imam telah dilihat sebagi manefestasi penyebaran pemikiran tokoh-tokoh Islah Mesir ke dalam masyarakat Melayu.Ini adalah kerana pemikiran penggerak al-Imam telah terpengaruh dengan pemikiran Islah yang ada di Mesir menyebabkan mereka merasakan perlunya mengambil langkah yang sama untuk mengubah masyarakat Melayu.
Selain itu,pengaruh luar yang lain adalah berkaitan kebangkitan oleh Jepun.Kebangkitan Jepun ini telah memberi semangat kepada para nasionalis dan memberi kesedaran bahawa Asia mampu untuk maju dan menjadi kuat.Perang Jepun-Russia 1904-1905 membuka mata orang Asia bahawa Asia mampu mengalahkan kuasa Barat.Sebelum itu mereka menganggap bahawa kuasa Barat itu kuasa unggul dan mereka tidak boleh dikalahkan tetapi memberi dorongan kepada orang Asia untuk bangkit menentang negara Barat.Pemulihan Meiji 1864 menunjukkan jalan kepada bangsa Asia bahawa mereka perlu satu reformasi dalam bangsa mereka sendiri.Dalam hal ini kemenangan jepun dalam perang Russo Jepun dari tahun 1905 hingga 1912,kerajaan beraja Meiji di Jepun yang progresif serta moden telah menjadi contoh utama dalam kegatan politik revolusionaer orang Vietnam.Keadaan ini seterusnya telah menyebabkan Phan Boi Chau dan putera Chuang De untuk menubuhkan Viet Nam Duy-Tan Hoi (pertubuhan permodenan Vietnam di jepun).Keadaaan ini telah membolehkan nasionalis seperti Pan Boi chau ini menjalankan misi menentang pihak penjajah Perancis berinspirasikan kejayaan pihak Jepun menentang Russia dalam perang Jepun 1904-1905 dahulu.
Nasionalisme yang dinamik dimana telah muncul di eropah pada awalnya itu telah pun dieksport ke Asia Tenggara.Secara am nya,kebanyakkan nasionalisme yang terdapat di Asis Tenggara adalah muncul akibat daripada kedatangan penjajah eropah.Keadaan ini adalah jelas dengan kedatangan penjajah seperti eropah seperti Belanda di Indonesia,Sepanyol di Filipina,British di Tanah Melayu dan Burma serta Perancis di Vietnam.Dalam hal ini kedatangan penjajah tersebut yang secara langsungnya kemudian mengambil hak penduduk tempatan sekaligus telah mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.Keadaan ini adalah dapat dilihat dengan pengambilan tampuk pemerintahan masyarakat tempatan serta mengambilalih ekonomi ditempat tersebut oleh pihak Kolonial secara langsung membawa kepada penindasan penduduk tempatan.Keadaan ini seterusnya telah mencetuskan kesedaran dikalangan penduduk tempatan.Namun begitu,kedatangan pihak kolonialisme ini juga turut mendorong kepada penubuhan institutsi-institutsi awam seperti sekolah berikutan pihak colonial ini yang hendak mengambil penduduk tempatan untuk berkhidmat dengan mereka.Kedaan ini seterusnya telah mendedahkan pelajar dalam sekolah terbabit dengan idea-idea barat yang mana secara tidak langsung telah menghasilkan bibit-bibit nasionalisme pada masyarakatan tempatan tersebut.
Namun begitu tidak semua daripada nasionalisme yang berlaku adalah berkaitan dengan kolonial sahaja.Kemunculan nasionalisme juga adalah disebabkan oleh keadaan dalaman sesuatu tempat dikawasan tersebut.Keadaan ini dapat dilihat dalam nasioanlisme di Thailand dimana nasionalisme yang berlaku adalah menentang dominasi ekonomi oleh masyarakat Cina dan dominasi politik oleh pihak Monarki Thailand.Semua nasionalisme yang berlaku di Asia Tenggara adalah terdiri daripada pelbagai bentuk disamping turut dipimpin oleh pelbagai golongan.Nasionalisme ini adalah berperanan penting dimana telah membawa kepada kemerdekaan kebanyakan kawasan di Asia Tenggara kemudiannya.
Bibliografi.
· Abu Talib Ahmad.Sejarah tanah Besar Asia Tenggara.Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.(1991)
· Brian Harrison.Southeast Asia(3rd Ed.).MacMillan.New York.(1967)
· David Joel Steinberg.Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden.Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.(1981).
· D.V.Sardesai.Southeast Asia. Past and Present(4th Ed).West View Press(1997)
· David G.Marr.Vietnamese Anticolonialism 1885-1925.University Of Carlifornia.London.(1971 )
· Mohammad Redzuan Othman.Islam Dan Masyarakat Melayu:Peranan dan pengaruh Timur Tengah.Penerbit Universiti Malaya (2005)
0 comments:
Post a Comment