Hari Ini Kisah Klasik Untuk Masa Depan

Welcome to My Blog.

"Setiap hari, terdapat banyak pekara yang berlaku di dunia ini. Segala yang berlaku ini perlu dicatat agar ianya dapat menjadi rujukan dan tatapan pada masa hadapan."

Thanks for coming. Have a nice day.Happy Surfing Everyone.!!!

Saturday, April 16, 2011

Punca berlakunya Pemberontakan Sarawak

PENDAHULUAN:

Melihat kepada sejarah pemerintahan awal negeri Sarawak lebih banyak digambarkan dengan penguasaan pemerintahan kesultanan Brunei. Sejak dari abad ke-17 iaitu semasa pemerintahan kesultanan Brunei, agama Islam telah sampai ke wilayah ini dan banyak mempengaruhi cara hidup dan pemikiran kelompok yang menganutinya.

Namun demikian, terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa sebelum kesultanan Brunei menguasai Sarawak telah datang sekolompok Melayu dari Minangkabau ke negeri ini dengan diketuai oleh Datuk Andi yang juga digelar sebagai Raja Jarum. Datuk Andi menetap dan kemudiannya memerintah sebahagian daripada negeri ini. Kawasan pemerintahannya tidak menyeluruh sebaliknya terbatas di sekitar bandar Kuching sahaja. Kebanyakan tulisan sejarah merujuk Sarawak ketika pemerintahan Brooke merangkumi kawasan Kuching sahaja. Ada juga yang menganggap bahawa Kuching sebagai negeri dan ibu negerinya adalah Lidah Tanah. Anak-anak Datuk Andi yang dewasa telah diletakkan di bahagian tertentu bagi mentadbir kawasan tersebut seperti Datuk Permaisuri di Kuching, Datuk Kembali di Saribas, Datuk Terawah di Samarahan, Datuk Sabtu di Sungai Rejang dan Datuk Makam di hulu Sungai Sarawak.

Terdapat juga lagi satu pendapat yang mengatakan kehadiran orang Melayu di Sarawak. Pandangan tersebut telah disokong oleh Tom Harisson dan Sanib Said. Mereka tidak menerima asal-usul Melayu Sarawak dari Sumatera namun sebaliknya mendakwa penduduk asal kawasan ini ialah golongan peribumi negeri ini seperti Iban, Melanau dan Bidayuh yang telah memeluk agama Islam. Apabila telah menganut Islam, mereka secara automatik telah dianggap sebagai Melayu atau menjadi Melayu atau ‘masuk Melayu’ iaitu satu istilah yang selalu diguna.

Pada tahun 1836, Sultan Umar Ali Saifuddin II iaitu Sultan Brunei yang memerintah pada ketika itu telah menghantar Pangeran Mahkota serta beberapa orang besar Brunei ke Sarawak. Pangeran Mahkota merupakan orang pertama yang membuka bandar Sarawak yang kemudiannya dinamakan Kuching. Pada masa itu, orang Melayu, Bidayu dan Cina telah mendiami Sarawak. Mereka tinggal di Seniawan, Lidah Tanah dan Ketupang yang tidak berapa jauh dari bandar Kuching. Mereka diperintah oleh Datu Petinggi Ali. Namun demikian, sewaktu pemerintahan Pangeran Mahkota di Sarawak telah tercetusnya pemberontakan di antara Datu Petinggi Ali dan pengikutnya dengan Pangeran Mahkota pada tahun 1836-1840.

Punca berlakunya Pemberontakan di Sarawak (1836-1840)

Sewaktu Pangeran Mahkota memerintah Sarawak, ia telah menjalankan dasar pentadbiran yang keras dan zalim terhadap orang Melayu, Bidayuh dan Cina yang diketuai oleh Datu Petinggi Ali. Boleh dikatakan dasar pentadbiran yang berbentuk “kuku besi”. Pangeran Mahkota dan pengikutnya yang terdiri daripada orang besar Brunei bukan sahaja telah mengambil beras, ikan, sarang burung dan hasil-hasil lain daripada pengikut Datu Petinggi Ali dengan sesuka hati malah mereka tidak membayar harga barang yang telah diambilnya. Selain itu, Pangeran Mahkota telah mengenakan cukai yang tinggi terhadap orang-orang Datu Petinggi Ali.

Penemuan biji logam antimoni pada awal tahun 1820-an di Sarawak merupakan punca berlakunya pemberontakan ini. Pangeran Mahkota tidak berpuas hati dengan hasil jumlah kerja yang seperti biasa daripada anak-anak tempatan. Oleh sebab itu, Pangeran Mahkota telah menggunakan sepenuhnya tenaga daripada orang Dayak Darat sehinggakan tidak mempedulikan orang-orang Melayu tempatan daripada mendapat bahagian mereka. Akhirnya, pada tahun 1836 orang Melayu Sarawak dan orang Dayak telah bersatu tenaga dan memberotak untuk menentang tuan-tuan besar mereka. Pemberontakan ini sudah semestinya mengakibatkan kekurangan hasil antimoni yang banyak.

Selain itu, orang-orang Datu Petinggi Ali juga dipaksa membuka lombong mencari batu perak iaitu antimoni dan juga emas di Bau. Batu perak dan emas yang mereka perolehi itu telah dibeli oleh Pangeran Mahkota dengan harga yang murah atau dirampas sahaja dengan sesuka hati. Bahkan ada pula di antara pengikut Datu Petinggi Ali yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Bidayu dan Cina telah ditangkap oleh Pangeran Mahkota untuk dijual sebagai hamba abdi.

Punca seterusnya yang menyebabkan pemberontakan Sarawak ini berlaku ialah Kesultanan Brunei telah mengubah pentadbirannya ke atas negeri Sarawak daripada pentadbiran secara tidak langsung kepada pentadbiran secara langsung. Apa yang kita lihat kerajaan Brunei telah menyedari akan kemajuan ekonomi yang dikecapi oleh negeri Sarawak. Sehubungan dengan itu, kekuasaan kerajaan Brunei juga ingin diperkukuhkan. Oleh itu, pada tahun 1836 Pangeran Mahkota telah dihantar oleh Sultan Brunei bagi mentadbir negeri Sarawak sebagai wakil pentadbir dan memungut cukai. Namun demikian, kehadiran Pangeran Mahkota dan pengikutnya yang terdiri daripada orang-orang besar Brunei telah melahirkan rasa ketidakpuasan hati kepada penduduk tempatan.

Selain itu, Pangeran Mahkota yang mengamalkan dasar paksaan ke atas orang Dayak Darat (Bidayuh) bekerja tanpa membayar upah. Oleh sebab ingin mendapat kekayaan yang berlipat ganda maka dasar buruh paksaan telah diamalkan oleh Pangeran Mahkota. Pada peringkat awal apa yang dapat kita lihat pelombong-pelombong yang terdiri daripada orang Dayak Darat telah dijanjikan dengan bayaran upah yang lumayan bagi menarik minat mereka untuk bekerja. Ternyata janji-janji manis tersebut tidak ditunaikan di mana orang Dayak Darat tidak dibayar gaji yang setimpal dengan pekerjaan yang mereka lakukan. Hal ini menyebabkan telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan mereka.

Punca seterusnya yang menyebabkan tercetusnya pemberontakan di Sarawak selama empat tahun ialah kehilangan status dan kuasa pembesar-pembesar Melayu. Kedatangan Pangeran Mahkota di Sarawak telah meminggirkan pembesar-pembesar Melayu dalam pentadbiran Sarawak. Pembesar-pembesar Melayu langsung tidak diserapkan ke dalam pentadbiran kerajaan Sarawak. Dahulunya di Sarawak kalau kita lihat pembesar-pembesar Melayu diberi peranan bagi memungut hasil cukai tetapi kini peranan itu telah diambil alih oleh Pangeran Mahkota. Sehubungan dengan itu, pembesar-pembesar Melayu bukan sahaja kehilangan kuasa dan pentadbiran ekonomi tetapi juga telah kehilangan status dan maruah.

Punca terakhir yang menyebabkan pemberontakan ini berlaku ialah berpunca daripada pentadbiran Kesultanan Brunei yang lemah. Di Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin iaitu Sultan Brunei yang memerintah ketika itu inginkan penyelesaian terhadap pemberontakan yang berlaku di Sarawak. Baginda telah menghantar Pangeran Muda Hashim. Hal ini menyebabkan berlakunya masalah perebutan takhta Brunei dan berlakunya konflik yang berterusan. Pangeran Yusof ingin merampas jawatan Bendahara dan konflik yang berlaku di antara Pangeran Muda Hashim dan Pangeran Mahkota telah digunakan oleh Baginda untuk memburukkan lagi keadaan. Keadaan ini telah menyebabkan pemberontakan yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mereka. Sehubungan dengan itu, mereka terpaksa meminta bantuan daripada James Brooke.

(i) Kedudukan ekonomi negeri Sarawak yang semakin kukuh dan kaya

Pada awal tahun 1820-an, kemajuan ekonomi di Sarawak semakin pesat berikutan terjumpanya hasil bumi seperti antimoni dan emas. Kegiatan perlombongan antimoni telah diuruskan oleh para pembesar tempatan. Manakala pelombong-pelombong pula adalah daripada penduduk tempatan yang terdiri daripada orang Dayak Darat (Bidayuh). Sarawak juga turut mengeksport barang-barang seperti damak, sarang burung dan sagu

(ii) Kesultanan Brunei mengubah pentadbiran secara tidak langsung kepada pentadbiran secara langsung.

Kerajaan Brunei telah menyedari akan kemajuan ekonomi yang dialami oleh negeri Sarawak. Kekuasaan kerajaan Brunei juga ingin diperkukuhkan. Pada tahun 1836, Pangeran Mahkota telah dihantar oleh Sultan Brunei untuk mentadbir negeri Sarawak sebagai wakil pentadbir dan memungut cukai. Namun kehadiran Pangeran Mahkota dan pengikutnya telah melahirkan rasa tidak puas hati kepada penduduk tempatan.

(iii) Pangeran Mahkota yang mengamalkan dasar paksaan terhadap orang Dayak Darat bekerja tanpa membayar upah.

Oleh sebab ingin mendapat kekayaan yang berganda, dasar buruh paksa telah diamalkan oleh Pangeran Mahkota. Pada peringkat awalnya, pelombong-pelombong yang terdiri daripada orang Dayak Darat telah dijanjikan dengan bayaran upah yang lumayan bagi menarik minat mereka untuk bekerja. Ternyata menunjukkan bahawa janji tersebut tidak ditunaikan. Orang Dayak Darat tidak dibayar gaji yang setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan oleh mereka. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

(iv) Status dan kuasa pembesar Melayu yang hilang

Kedatangan Pangeran Mahkota di Sarawak telah meminggirkan pembesar-pembesar Melayu dan pentadbiran. Pembesar-pembesar Melayu langsung tidak diserapkan ke dalam pentadbiran kerajaan. Pembesar-pembesar Melayu yang dahulunya memungut hasil cukai telah diambil alih oleh Pangeran Mahkota. Malahan, pembesar-pembesar Melayu bukan sahaja kehilangan kuasa dan pentadbiran ekonomi malahan juga kehilangan status dan maruah.

(v) Kelemahan pentadbiran Kesultanan Brunei

Di Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II inginkan penyelesaian terhadap pemberontakan yang berlaku di Sarawak. Beliau telah menghantar Pangeran Raja Muda Hashim. Hal ini disebabkan berlakunya masalah perebutan takhta Brunei dan berlaku konflik yang berterusan di Brunei. Pangeran Yusof ingin merampas jawatan Bendahara dan konflik yang berlaku di antara Pangeran Raja Muda Hashim di mana Pangeran Mahkota telah digunakan oleh beliau untuk memburukkan lagi keadaan. Keadaan ini telah menyebabkan pemberontakan yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mereka sehingga mereka terpaksa meminta bantuan daripada James Brooke.

Kesannya ke atas Sejarah Sarawak

(i) Kedatangan penjajah Barat di Sarawak

Dasar pentadbiran Pangeran Mahkota dan orang-orang besar Brunei yang keras dan zalim telah menyebabkan pengikut Datu Petinggi Ali bangun memberontak bagi melawan pihak Pangeran Mahkota dan orang-orang besar Brunei. Tujuannya ialah untuk membebaskan Sarawak daripada pemerintahan orang-orang besar Brunei yang zalim itu. Hal ini menyebabkan berlakulah keadaan yang huru-hara di Sarawak. Oleh sebab itu, Sultan Brunei iaitu Sultan Umar Ali Saifuddin II telah bertindak balas dengan menghantar bapa saudara baginda iaitu Pangeran Muda Hashim ke Sarawak.

Pangeran Muda Hashim mempunyai susuk tubuh yang kecil, pertengahan umur dan sukar untuk membuat keputusan. Oleh itu, sukar baginya untuk menghentikan pemberontakan tersebut kerana dia sendiri tidak mempunyai semangat kejam seperti Pangeran Mahkota. Namun demikian, kedatangannya ke Sarawak tidak mendatangkan apa-apa perubahan kerana Pangeran Mahkota tidak mahu menuruti kata-katanya walaupun kedatangannya ke Sarawak telah dititahkan oleh Sultan Brunei. Apa yang dapat dilihat Pangeran Mahkota terus menentang dan menzalimi orang Melayu, Bidayu dan Cina yang merupakan pengikut Datu Petinggi Ali. Keadaan bertambah buruk apabila pada tahun 1838, Sultan Sambas telah memberikan pertolongan kepada Datu Petinggi Ali yang terdiri daripada ubat bedil, peluru dan barang makanan. Hal ini ditambah pula dengan Datu Petinggi Ali yang memohon bantuan daripada pihak Belanda. Namun demikian, Gabenor Jeneral dari Kompeni Belanda telah menolak permintaan tersebut dengan alasan tidak mahu campur tangan dalam hal permusuhan di Sarawak.

(a) Kedatangan James Brooke ke Sarawak

Pada awal tahun 1839, sebuah kapal Inggeris telah karam di laut tidak berapa jauh dari pantai laut bandar Sarawak (Kuching). Pangeran Muda Hashim yang berada di situ telah membawa anak-anak kapal mendarat di Kuching. Mereka telah diberikan makan minum dan dilayan dengan baik seterusnya dihantar balik dengan kapal ke Singapura atas perbelanjaannya sendiri. Kepulangan dan laporan yang dibuat oleh anak-anak kapal Inggeris diterima dengan penuh gembira daripada Gabenor dan ahli Dewan Perniagaan di Singapura. Oleh itu, mereka telah bersetuju hendak memberikan surat ucapan terima kasih dan hadiah kepada Pangeran Muda Hashim. Kebetulan pada ketika itu seorang pengembara Inggeris yang bernama James Brooke telah datang ke Singapura bersama dengan sebuah kapalnya iaitu “Royalist”. Gabenor Encik Bonham dan pihak Dewan Perniagaan telah meminta James Brooke menyampaikan perutusan dan hadiah-hadiah kepada Pangeran Muda Hashim di Kuching. Permintaan Gabenor dan ahli Dewan Perniagaan di Singapura itu telah dipersetujui oleh James Brooke.

Oleh itu, pada 27 Julai 1839, James Brooke bersama kapal “Royalist”nya telah bertolak meninggalkan Singapura dan akhirnya pada 15 Ogos 1839 James Brooke telah sampai ke Sarawak di mana ia berlabuh di Sungai Sarawak setentang dengan rumah Pangeran Muda Hashim. James Brooke telah berjumpa dengan Pangeran Muda Hashim lalu menyampaikan surat ucapan terima kasih dan barang-barang hadiah yang dibawanya itu sambil menyatakan kiriman tersebut daripada Gabenor dan ahli Dewan Perniagaan di Singapura atas jasa baik Pangeran Muda Hashim. Sejak itu, James Brooke telah bersahabat baik dengan Pangeran Muda Hashim. Ketika itu, orang Melayu, Bidayu dan Cina di Sarawak yang diketuai oleh Datu Petinggi Ali masih memberontak menentang Pangeran Mahkota dan pengikutnya termasuklah Pangeran Muda Hashim sendiri.

Setelah lebih sebulan lamanya James Brooke berada di Sarawak maka beliau bermohon diri hendak meninggalkan Sarawak. Namun demikian, Pangeran Muda Hashim bersungguh-sungguh meminta James Brooke supaya datang lagi ke Sarawak. Brooke telah memberi jaminan bahawa ia akan datang lagi ke Sarawak berjumpa Pangeran Muda Hashim.

(b) James Brooke menjadi Raja Sarawak pertama

Pada 29 Ogos 1840, James Brooke telah tiba ke Sarawak dan berjumpa dengan Pangeran Muda Hashim. Pada waktu itu, keadaan di Sarawak masih kacau-bilau dan huru-hara yang telah dilakukan oleh Pangeran Mahkota dan orang-orang besar Brunei di Kuching. James Brooke bercadang hendak meninggalkan tempat yang sentiasa dalam kekacauan namun Pangeran Muda Hashim telah menghalang dan merayu dengan bersungguh-sungguh kepada James Brooke supaya jangan meninggalkan Sarawak. Mereka meminta James Brooke mengamankan Sarawak di mana Pangeran Muda Hashim berjanji memberi Seniawan dan Sarawak (Kuching) kepada James Brooke serta menggelarkannya “Raja Sarawak” jika berjaya mengalahkan musuh Pangeran Muda Hashim yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Bidayu yang merupakan pengikut Datu Petinggi Ali.

Oleh itu, James Brooke telah membawa askar seramai 10 orang yang berbangsa Inggeris dari kapal “Royalist”, 2 buah meriam besar naik ke darat bersatu dengan pasukan Pangeran Muda Hashim yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Dayak bagi menentang orang Melayu, Cina dan Bidayu yang diketuai oleh Datu Petinggi Ali. Pertempuran ini berlaku di Lidah Tanah. Namun demikian, James Brooke dan Pangeran Muda Hashim gagal mengalahkan pihak Datu Petinggi Ali lalu mereka balik ke Kuching semula. Kekalahan tersebut disebabkan pengikut Pangeran Muda Hashim bersama askar James Brooke didapati penakut dan mereka melawan musuh sambil lewa sahaja dengan keadaan yang tidak bersungguh-sungguh.

Pada 20 Disember 1840, berlaku lagi pertempuran di mana pasukan James Brooke bersatu dengan Pangeran Muda Hashim bagi melawan pihak Datu Petinggi Ali di Sikudis. Pertempuran tersebut berlaku dalam jangkamasa yang singkat di mana Pangeran Matusin (Muhammad Husain) serta beberapa orang kawannya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Bidayu dari pasukan Datu Petinggi Ali telah datang dalam satu rombongan menemui James Brooke mengaku kalah lalu berdamai dengan pihak James Brooke. Permintaan damai tersebut telah dipersetujui oleh James Brooke. Ketua-ketua Melayu, Cina dan Bidayu dari pengikut Datu Petinggi Ali meminta James Brooke menjadi “Raja Sarawak” di mana mereka mahu menamatkan perang apabila James Brooke dinaikkan takhta menjadi “Raja Sarawak”.

KESIMPULAN:

Sebagai kesimpulannya, James Brooke telah berjaya menamatkan pemberontakan yang tercetus di Sarawak yang berlangsung selama empat tahun. Oleh itu, seperti yang dijanjikan, Pangeran Muda Hashim telah mengisytiharkan bahawa James Brooke diangkat menjadi pemerintah sebagai Gabenor di Sarawak dan bergelar “Raja Sarawak ataupun disebut Rajah Sarawak” pada 24 September 1841. Brooke dikehendaki menghantar ufti tahunan berjumlah Dolar Selat $2000 kepada Brunei. Ketika itu, Sarawak hanya merangkumi kawasan Lundu di barat dan Sadong di timur. James Brooke telah bercita-cita untuk menjadikan Brunei dan seterusnya seluruh Borneo sebahagian daripada empayar British di Kepulauan Asia Tenggara. Namun demikian, terdapat pakatan untuk menggulingkan James Brooke sewaktu beliau memerintah di mana berlaku perubahan sikap Pangeran Muda Hashim terhadap James Brooke setelah melihatkan James Brooke berbaik dengan pihak Datu Petinggi Ali lalu menanam rasa curiga terhadap James Brooke. Sementara itu, Pangeran Mahkota berasa bimbang terhadap James Brooke yang berkuasa di Sarawak lalu telah menjalankan satu rancangan hendak menjatuhkan James Brooke di Sarawak dengan dipersetujui oleh Pangeran Muda Hashim. Oleh itu, keadaan huru-hara masih berlaku di Sarawak setelah James Brooke menjadi Raja Sarawak berikutan daripada ketidakpuasan hati penduduk tempatan ke atasnya terutama dari segi pentadbiran yang dijalankan.

Namun, peristiwa penting di sini di mana pada 14 Julai 1842, James Brooke telah bertolak dari Kuching menuju ke Brunei bagi mendapatkan pengesahan daripada Sultan Brunei mengenai kuasanya di Sarawak. Setibanya di Brunei, James Brooke telah berunding dengan Sultan Umar Ali Saifuddin II iaitu Sultan Brunei pada masa itu. Hasil daripada perundingan tersebut, pada 1 Ogos 1842, Sultan Brunei membuat surat perjanjian dengan James Brooke. Dalam surat perjanjian itu menyebut bahawa Sultan Brunei menyerahkan negeri Sarawak serta segala hasil cukai di negeri itu turut diserahkan kepada James Brooke. James Brooke juga harus membayar kepada Sultan Brunei setiap tahun sebanyak $2, 500. Selain itu, James Brooke juga tidak boleh menyerahkan negeri Sarawak kepada orang lain melainkan dengan persetujuan daripada Sultan Brunei. Agama dan adat istiadat penduduk Sarawak juga tidak boleh diganggu-gugat. Kesimpulannya, Sultan Brunei telah menyerahkan negeri Sarawak kepada James Brooke.

BIBLIOGRAFI:

1. Buyong Adil, Sejarah Sarawak, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.

2. Chin Ung-Ho, Chinese Politics in Sarawak: A Study of the Sarawak United People’s Party, London: Oxford University Press, 1996.

3. Nidzam Sulaiman, Pakatan dalam Politik Sarawak, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006.

4. Sanib Said, Malay Politics in Sarawak 1946-1966: The Search for Unity and Political Ascendancy, Singapore: Oxford University Press, 1985.

5. Singh, D.S. Ranjit, Brunei 1839-1983: The Problems of Political Survival, Singapore: Oxford University Press, 1991.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP